Home Berita PAS Terengganu

Penantian separuh abad jambatan baharu Marang

165
SHARE

MARANG – Penantian lebih separuh abad masyarakat Terengganu khususnya di Marang bakal berakhir apabila projek menaiktaraf jalan dan jambatan merentasi Sungai Marang bernilai RM338.5 juta berjalan.

Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, masalah kesesakan trafik di jalan sedia ada akan dapat diatasi dan dijangka mengurangkan masa perjalanan sekurang kurangnya 10 hingga 20 minit pada waktu puncak berbanding sebelum ini.

“Jambatan ini terletak di Laluan Persekutuan 3 (FT003) yang menghubungkan Kuala Terengganu ke Kuantan, Pahang dan merentasi Sungai Marang.

“Pada masa sekarang, jambatan sedia ada yang dibina pada tahun 1960 ini tidak dapat menampung jumlah trafik yang semakin meningkat.

“Struktur jambatan yang sempit juga memberi kesan kesesakan di Bandar Marang dengan tahap perkhidmatan atau Level of Service (LOS) D,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa majlis pelancaran Projek Menaiktaraf Jambatan Merentasi Sungai Marang, di sini, pagi tadi.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkongsi usaha kerajaan negeri tersebut berjaya membuahkan hasil setelah beberapa kali kertas cadangan projek diangkat ke peringkat persekutuan.

“Alhamdulillah, kelulusan projek terbesar di Marang ini (sehingga kini) telah diumumkan oleh Menteri Kewangan dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November 2020 lalu.

“Mesyuarat pra pembinaan projek bersama kontraktor yg dilantik (GPQ- LGBE Joint Venture) telah diadakan dan bakal dilaksanakan secara kaedah reka dan bina dalam tempoh 3 tahun 6 bulan, atau masa 42 bulan dan dijangka akan siap dan boleh digunakan sepenuhnya pada Oktober 2025.

“Besarlah harapan pihak kerajaan negeri agar kesesakan jalan raya yang dialami selama ini dapat diatasi sepenuhnya, sebaik pembinaan projek ini siap kelak,” kata beliau.

Beliau berharap agar pelaksanaan projek ini dapat menjadi pemangkin dalam merancakkan ekonomi penduduk setempat di Marang.

Untuk rekod, skop kerja yang akan dilaksanakan melibatkan kerja-kerja menaiktaraf jalan sedia ada sepanjang 1.5 kilometer kepada empat lorong dua hala dengan piawaian R5, menaiktaraf dua buah jambatan kepada empat lorong dua hala di Sungai Marang dan Sungai Rinting.

Pembinaan juga termasuk membangunkan jejambat dari persimpangan Bandar Marang merentasi Sungai Marang dan membina sistem perparitan di kiri dan kanan jalan.