Home Berita PAS Terengganu

Penantian 19 tahun berakhir

27
SHARE

KUALA NERUS – Penantian hampir dua dekad seorang nelayan dan suri rumah untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai apabila kerajaan negeri menyerahkan kunci rumah pangsa kepada mereka, semalam.

Norbaizura Zainal Abidin, salah seorang penerima unit kediaman tersebut, melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga atas rezeki yang dinanti sejak 19 tahun lalu.

“Syukur sangat kepada Allah SWT dan terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu serta PMINT kerana akhirnya impian saya memiliki rumah sendiri tercapai. Saya telah memohon pelbagai projek perumahan sebelum ini termasuk Flat PPR Hiliran.

“Daripada anak pertama sampai lah lima orang anak, Alhamdulillah hari ini baru dapat. Terima kasih banyak kepada semua yang membantu,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis penyerahan kunci.

Seorang lagi penerima, Bibi Izzati Nadia Kama turut berkongsi rasa syukur apabila terpilih sebagai penerima unit rumah mampu milik tersebut.

“Sebelum ini kami menyewa rumah di Gong Badak dengan bayaran RM550 sebulan. Saya mohon sejak 2012 melalui projek perumahan sebelum ini, sehiggalah berusaha lagi dan mengemas kini permohonan bagi mendapatkan RPMM Tok Jembal sejahtera  akhirnya kini kami sekeluarga, saya, suami dan dua anak mempunyai kediaman sendiri dengan bayaran sewa bulanan yang sangat rendah.

“Syukur sangat-sangat, ini satu rahmat besar buat keluarga kecil kami,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat dalam ucapannya menzahirkan penghargaan atas komitmen kerajaan negeri yang terus membela nasib rakyat melalui penyediaan perumahan yang selesa dan mampu milik.

“Penyerahan rumah ini mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri serta agensi seperti PMINT dan SUK Bahagian E-Perumahan yang bertungkus-lumus memastikan projek ini siap dan boleh didiami tidak lama lagi, insya-Allah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan para penerima agar bertanggungjawab dalam melunaskan bayaran bulanan tepat pada masanya.

“Dengan kadar sewa bulanan yang sangat rendah, kita harap semua penerima tidak culas. Kita tidak mahu berulang seperti kes sebelum ini, tunggakan sewa mencecah ribuan ringgit.

“Juga, jaga keharmonian dan hormat antara jiran tetangga. Kehidupan di rumah pangsa ini memerlukan tolak ansur dan saling menjaga persekitaran demi keselesaan bersama,” tegas beliau.

Majlis penyerahan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan kerajaan negeri dalam menyediakan kediaman mampu milik dan patuh syariah kepada rakyat berpendapatan rendah.