Oleh : Akid Hafriz
KUALA TERENGGANU, 25 Julai – Dewan Pemuda PAS Kuala Terengganu (DPPKT) bersama Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kuala Terengganu telah turun ke beberapa rumah dalam Kuala Terengganu untuk menyampaikan sumbangan bakul makanan.
“Petang ini kami turun menyantuni anak-anak muda di samping menyampaikan sedikit sumbangan bakul makanan kepada mereka.
“Sebanyak 100 pek bakul makanan telah diagihkan dengan 50 diagihkan oleh pihak DPPKT dan 50 lagi diagihkan oleh Armada Kuala Terengganu.
“Mudah-mudahan program ini dapat membantu meringankan beban anak muda yang terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dijalankan,” kata Ketua Pemuda DPPKT, Ustaz Ahmad Asyraf Mohd ketika ditemu bual pemberita.
Sementara itu, Ketua Armada Kuala Terengganu, Ahmad Hariz menzahirkan ucapan terima kasih atas kerjasama yang julung kali diadakan antara DPPKT dan Armada Kuala Terengganu.
“Saya harap agar kerjasama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” kata Hariz.