KUALA LUMPUR, 27 MEI- Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan kerjasama dengan Dewan Pemuda PAS Malaysia telah bersama-sama menganjurkan program Liqa’ Fikri Pasca PRUdan Iftar Jam’ie di Surau Hj. Hassan Shukri, KUIZM Taman Melewar semalam. Program tersebut dapat mengumpul pemuda-pemuda dari seluruh kawasan di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dan menjadi medan untuk mereka berukhuwwah serta memberi semangat setelah selesai Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU 14) yang lalu.
Slot taujihat dan motivasi pasca PRU yang disampaikan oleh Yang Berhormat Ustaz Mohd Khalil Abdul Hadi selaku ketua Pemuda PAS Malaysia merangkap ADUN Batu Buruk mengingatkan semua pemuda yang hadir terus istiqamah dalam melaksanakan gerak kerja walaupun PRU 14 telah berlalu.
YB Ustaz Muhammad Khalil juga mengingatkan agar para pemuda tidak perlu bersedih di atas kekalahan dalam PRU yang lepas yang dihadapi PAS khususnya di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan negeri lain. Kalah dan menang sudah menjadi sunnatullah dalam perjuangan.
Beliau turut meninggalkan beberapa pesanan dan menyentuh beberapa perkara yang perlu diambil pengajaran oleh semua pemuda selepas PRU 14. Antara yang disentuh beliau ialah walaupun kita tidak diberi kemenangan seluruhnya untuk memerintah Malaysia kita perlu sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT dan sama-sama bermuhasabah diri atas kekurangan dan kelemahan dalam melakukan gerakerja jamaah ini.
“Tujuan kita masuk PRU adalah untuk menyebarkan dakwah secara meluas di seluruh Malaysia bukan sahaja bermatlamatkan kemenangan semata-mata. Oleh sebab itu PAS mengambil keputusan untuk bertanding di lebih 150 kerusi PRU 14 yang lepas. Mesej dakwah Islam telah berjaya disampaikan kepada rakyat. Dalam pada masa yang sama PAS berjaya mendapatkan undi popular yang banyak sempena PRU 14 yang lepas. Hal ini terbukti penerimaan masyarakat terhadap PAS semakin kuat” ujar beliau dalam taujihat yang disampaikan.
Di samping itu, YB Ustaz Khalil berpesan agar seluruh pemuda meneruskan gerak kerja bermula sekarang untuk membina kekuatan dengan berusaha menambahkan keahlian dan perbanyakan cawangan di seluruh kawasan kerana perkara ini merupakan salah faktor kekuatan kemenangan PAS di Kelantan dan Terengganu.
Pengisian dari pimpinan utama pemuda itu nyata memberi semangat kepada seluruh pemuda Wilayah Persekutuan untuk terus bergerak demi memperjuangkan agama Islam khususnya di bandar metropolitan ini. Program tersebut diteruskan lagi dengan iftar dan berakhir dengan solat terawih & witir berjemaah.