Home Berita PAS Wilayah

Pemuda PAS Wangsa Maju Mantapkan Gerak PRU16 Melalui Permukiman Strategik

4
SHARE

Oleh : Muhammad Abdul Fateh
Foto : Hatta Izamuddin

WANGSA MAJU, 11 Nov — Dewan Pemuda PAS Kawasan Wangsa Maju (DPPWM) telah menganjurkan Permukiman Ahli Jawatankuasa selama dua hari satu malam sebagai langkah memperkasakan gerak kerja serta kesiapsiagaan jentera menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Program berbentuk retreat ini bertujuan memperkukuh hala tuju organisasi, merangka strategi baharu dan mempertingkat keupayaan jentera dalam usaha mendekati serta menarik minat golongan muda di Wangsa Maju.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ketua Pemuda PAS Wangsa Maju, Ustaz Beyhaqi Ramli, yang menegaskan kepentingan penyatuan tenaga, kesungguhan dan disiplin dalam memastikan jentera pemuda kekal utuh menghadapi cabaran politik semasa.

Antara agenda utama yang dibentangkan ialah strategi baharu DPPWM untuk memperkukuh daya tarikan terhadap generasi muda melalui pendekatan kreatif, program berteraskan kebajikan serta penerangan isu semasa secara berkesan.

Permukiman ini turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua PAS Kawasan Wangsa Maju, Ustaz Abdul Rani bin Mohamed Daud, yang menyempurnakan majlis penutup. Dalam ucapannya, beliau menyeru seluruh jentera pemuda agar terus beristiqamah, bersemangat dan bekerja secara tersusun demi memastikan kemenangan Islam di Wangsa Maju.

DPPWM turut menzahirkan komitmen dan iltizam untuk memastikan PAS terus diterima masyarakat melalui pelbagai program mendekati rakyat, sejajar dengan misi memperkukuh perpaduan dan kebajikan masyarakat setempat.

Dengan semangat dan kesatuan yang terpancar sepanjang permukiman ini, DPPWM bertekad untuk melangkah dengan lebih tersusun, dinamik dan berstrategi menuju kemenangan Islam di Wangsa Maju menjelang PRU16.