Home Rencana PAS Wilayah

Pemuda PAS Wangsa Maju: Institusi Pendidikan Bukan Tempat Normalisasi Arak

5
SHARE

Dewan Pemuda PAS Kawasan Wangsa Maju mengambil maklum kenyataan YB Menteri berhubung isu penghidangan minuman beralkohol di dewan sekolah atau premis yang berkait dengan institusi pendidikan. Sebagai warganegara yang insaf akan nilai moral dan akidah umat Islam, kami berasa perlu memberikan respons rasmi seperti berikut:

1. Tiada agama yang menghalalkan arak.

Walaupun dalam kenyataannya Menteri menyebut “ikut garis panduan amalan sedia ada”, kami menegaskan bahawa dari sudut syarak, minuman beralkohol adalah jelas haram dan tiada ruang bagi sebarang agama yang membenarkan arak dalam premis yang melibatkan pendidikan atau institusi sekolah.

Sudah banyak kejadian yang meragut nyawa yang melibatkan pemandu yang memandu selepas meminum arak. Begitulah bahayanya arak ini kepada semua masyarakat tidak kira agama.

2. Ketandusan program bermoral di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Kami turut melihat keadaan di mana kementerian dilihat kurang aktif dalam membangunkan program-program pendidikan nilai dan akhlak yang kukuh program bermula dari sekolah rendah hingga menengah harus memperkukuh kesedaran tentang bahaya dan implikasi arak, rokok, dadah dan elemen negatif lain. Apabila garis panduan dilihat longgar atau kurang penguatkuasaan, maka risiko budaya “normalisasi” arak dalam kalangan pelajar semakin tinggi.

3. Saranan tindakan segera.

KPM dan kementerian berkaitan perlu mengemas kini dan memperketatkan garis panduan penerimaan sumbangan dan penggunaan premis sekolah supaya tiada aktiviti yang berkaitan arak, tembakau atau sebarang unsur yang boleh menjejaskan akidah pelajar Islam.

Pelaksanaan program nilai dan akhlak yang berterusan perlu dipertingkat bukan sekadar ceramah sekali-sekala, tetapi modul dan bengkel tetap yang menyentuh isu gaya hidup, kesedaran agama, dan pengaruh negatif seperti arak.

Pihak sekolah dan Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) harus diberi panduan jelas serta audit berkala agar tiada ruang untuk “kelemahan moral” berlaku di premis pendidikan.

4. Pesanan kepada semua pihak.

Apabila kita lalai terhadap amanah mendidik generasi muda, maka kita menyerahkan masa depan umat kepada mereka yang akan terdedah kepada budaya yang merosakkan.Oleh itu, kerajaan dan semua pihak berkepentingan harus bekerjasama memastikan institusi pendidikan kekal sebagai benteng akidah dan moral bukan tempat penyusupan nilai yang menyalahi prinsip Islam dan budaya masyarakat Malaysia.

Kami berharap YB Menteri Komunikasi dan Multimedia serta KPM akan menelaah secara serius isu ini, bukan sekadar dari sudut prosedur tetapi dari sudut nilai, akidah dan kestabilan moral negara. Dewan Pemuda PAS Kawasan Wangsa Maju bersedia untuk bersama memberi input dan kerjasama untuk membangunkan generasi yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berakhlak mulia.

“Terus Memimpin”

USTAZ BEYHAQI BIN RAMLI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Kawasan Wangsa Maju
25 Oktober 2025