KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu menyatakan kesediaan menyertai himpunan ‘Turun Anwar’ sebagai tanda solidariti terhadap suara rakyat yang mendesak perubahan dan pembelaan.
Ketua Pemudanya, Hamdi Harun berkata, himpunan itu adalah reaksi terhadap beberapa keputusan kerajaan Persekutuan yang dilihat menekan rakyat.
“Pemuda PAS Terengganu sentiasa bersedia menyahut sebarang seruan untuk membawa suara rakyat dan kebaikan kepada umat.
“Seruan ke himpunan tersebut adalah rentetan dari beberapa salah laku dan keputusan-keputusan kerajaan Persekutuan yang dilihat sangat menekan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, gerak kerja ke arah penyertaan sedang giat dijalankan di peringkat kawasan dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Hamdi turut menyeru anak muda, khususnya pemuda PAS, untuk turun ke himpunan secara tertib dan aman, serta menjaga adab sepanjang perhimpunan.
“Jangan lakukan provokasi. Ikhlaskan niat kerana Allah. Kita turun bukan kerana individu, tetapi kerana prinsip dan tuntutan amanah rakyat,” tegasnya.