Oleh: Aizal Samsaruddin
8 November 2022
SANDAKAN: Pemuda PAS Sabah mencadangkan agar diadakan debat antara calon-calon yang bertanding parlimen di negeri itu.
Ketua Penerangannya, Mustaman Mustain berkata, tujuan debat itu diadakan adalah untuk menyuburkan kaedah amalan demokrasi di Sabah.
“Kita juga mahu lihat intelektual bakal wakil rakyat yang mewakili parlimen masing-masing,” katanya menerusi satu video yang dimuat turun dalam aplikasi tiktok semalam.
Tambahnya, setiap calon juga dapat mengetengahkan apa visi dan misi setiap bakal wakil rakyat yang bertanding untuk memajukan parlimen yang diwakili mereka.
“Melalui visi dan misi itu kita juga perlu tahu apa cara dan agenda yang bakal mereka laksanakan jika mereka memenangi kerusi parlimen yang ditandingi.
“Saya sarankan kepada mahasiswa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan-pertubuhan lain untuk menganjurkan debat ini seperti yang berlaku di barat yang dilaksanakan debat antara presiden,” ujarnya lagi.