SABTU 23/12/2017 – PERMATANG PAUH
Lajnah Pendidikan Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang telah menganjurkan Kursus Profesionalisma Keguruan siri 1 bagi memperkemaskan kemahiran sedia ada kepada 51 orang guru dibawah sekolah-sekolah dewan pemuda.
Sebanyak tiga buah sekolah yang telah diwajibkan gurunya hadir untuk kursus tersebut terdiri dari Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum (SRIBU), Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam Darul Hadis (SRITI DARUL HADIS) dan Sekolah Rendah Islam Al Ansar (SRIA).
Kursus yang mengambil masa sehari telah memberikan impak yang besar kepada para guru dengan pelbagai slot pembentangan seperti pembentangan Profesionalisma Keguruan dan Pendedahan KSSR serta bengkel. Penceramah yang dijemput khas dari kalangan mereka yang berpengalaman dalam dunia pendidikan dan masih berkhidmat dalam jabatan pendidikan menjadikan kursus ini sangat penting kepada guru yang akan memulakan sesi pembelajaran sesi 2018 tidak lama lagi.
Pengerusi Lajnah Pendidikan Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang Ustaz Nik Razif Nik Rahim telah mengambil peluang membentang Transformasi Pendidikan 2018-2022 sekolah-sekolah di bawah Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang dengan menyenaraikan 6 Objektif penting bagi usaha menjadikan sekolah mencapai tahap Sekolah Berprestasi Tinggi (SBP).
Usaha untuk menjadikan sekolah-sekolah bawah dewan pemuda pilihan utama para ibubapa bukan hanya kerana sekolah ini mempromosi pendidikan silibus diniyyah tetapi yang paling penting kemenjadian murid menjadi fokus utama para guru.
Ustaz Nik Razif juga menegaskan melalui Lajnah Pendidikan telah diwujudkan Jemaah Penaziran dan Kualiti yang terdiri daripada para pendidik yang berpengalaman untuk membantu pihak sekolah dan guru dalam menyediakan kemahiran dan melahirkan kualiti guru yang hebat.
Kursus yang dirasmikan oleh Ustaz Imran Husn, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang yang bermula jam 8 pagi berakhir pada jam 5 petang.