Pemuda PAS KOTA RAJA bersyukur kehadrat Allah SWT akhirnya RUU355 yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang dapat dibentangkan dalam sidang Parlimen baru-baru ini yang menjadi sindiran dan ejekan oleh sesetengah pihak. Kita sedia maklum perjalanan masih jauh dan kita berdoa agar pindaan ini diluluskan dalam sidang akan datang demi kesejahteraan bersama.
Terbaru Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Dato Seri Anwar Ibrahim menyokong usaha memartabatkan Undang-Undang Syariah setanding dengan kes-kes yang dikendalikan di mahkamah sivil. Malah Keadilan Selangor turut menyokong usaha murni ini seperti kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan Keadilan Selangor YB Shuhaimi Shafiei kerana ia sama sekali tidak menjejaskan hak orang bukan Islam seperti yang telah dijelaskan oleh YB Marang dalam sidang parlimen lepas. Pemuda PAS Kota Raja melihat selain daripada usaha membawa isu rakyat, ahli Parlimen juga perlu melihat lebih jauh khusus berkenaan pembanggunan modal insan yang menjadi masalah utama dalam negara kita.
Tujuan PAS cukup jelas dan konsisten seperti mana yang terkandung di dalam buku perlembagaan PAS di mana PAS memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah di samping mempertahankan Kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara melalui usaha menyeru umat manusia kepada Syari’at Allah dan Sunnah RasulNya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan. Dasar PAS yang cukup jelas sejak dahulu lagi sehingga rakyat memilih PAS dalam pilihanraya sebelum ini tanpa menidakkan hak agama lain.
Inilah masa terbaik kita bersatu hati dan berganding bahu tanpa rasa prajudis terhadap satu sama lain bagi mempertahankan Kerajaan Selangor yang kita dokongi bersama serta melenyapkan BN serta sekutunya dalam PRU14 akan datang kerana kezaliman dan kerosakan yang telah dilakukan selama ini.
Semoga kita lebih fokus dalam gerak kerja diamanahkan dalam kerajaan yang kita miliki bersama di samping menjayakan agenda yang telah disusun oleh Dato Menteri Besar dalam belanjawan lepas khusus program Inisitif Peduli Rakyat yang menjurus kepada kebajikan rakyat secara keseluruhan dan mengabaikan pihak-pihak yang suka menangguk di air yang keruh serta menimbulkan polimik dalam kerjasama yang dibina selama ini demi kepentingan peribadi.
IMRAN SATIMAN
KETUA PEMUDA PAS KOTA RAJA