Home Berita PAS Pahang

Pemuda Pahang lapor polis gesa Ramasamy disiasat

657
SHARE

 

 

Dewan Pemuda PAS Pahang (DPPNP) akan membuat laporan polis ke atas YB Dr Ramasamy A/L Palanisamy jam tiga petang esok (Khamis 19 Julai), bertempat di Balai Polis (IPD) Kuantan.

 

Ini berikutan kaitan Adun Dap yang merupakan Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang itu yang didakwa terlibat dengan kumpulan pemisah Tamil di Sri Langka iaitu Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE), yang disenaraikan sebagai salah satu pertubuhan pengganas.

 

Menurut kenyataan media oleh Ketua Penerangan Pemuda Negeri yang diedarkan, jika benar dakwaan ini, ia adalah ancaman berbahaya kepada negara. Maka, pihak polis wajar menyiasat dakwaan tersebut berpaksikan undang-undang sedia ada.

 

Berikutan itu anggota Pemuda diseru untuk hadir beramai-ramai bagi menzahirkan sokongan. Satu sidang media bersama wartawan turut akan diadakan sejurus laporan polis dibuat.

 

LTTE merupakan puak pemberontak yang mahu menubuhkan negara berasingan bagi etnik minoriti Tamil di utara dan timur pulau Sri Lanka. Kumpulan ini telah dikategorikan sebagai kumpulan pengganas oleh Amerika Syarikat dan diharamkan daripada memasuki 32 negara.

 

Diasaskan oleh Velupillai Prabhakaran pada 1975 dengan corak perjuangannya serangan kecil-kecilan sehingga kepada pengebom berani mati. Sebelum dilumpuhkan,  dikhabarkan terdapat lebih 10,000 pengganas bersenjata LTTE di Sri Lanka yang disokong oleh jaringan bantuan kewangan di seluruh dunia dari etnik tersebut bagi membiayai pembelian senjata dan operasinya. Dana kewangan mereka dipungut daripada penyeludupan dadah, perdagangan manusia, kegiatan mengklon kad kredit dan pengedaran cakera padat digital (DVD) Tamil di seberang laut.

 

Pihak pemerintah Sri Lanka pernah menyatakan LTTE mendapatkan dana dari rakyat Malaysia dan senjata dari sempadan Malaysia – Thailand.

 

Akibat peperangan antara Tamil Eelam dan Singhala dari 1990 – 2009 itu  menyebabkan lebih 700,000 terbunuh kebanyakannya umat Islam dan hampir 700,000 rakyat Sri Lanka terpaksa meninggalkan kampung halaman. Perang saudara yang melanda Sri Lanka dari 1983 hingga 1996 menyebabkan negara itu mengalami kerugian berjumlah RM59 bilion.

 

Sebelum ini Ketua Penerangan PAS Pusat Ustaz Nasrudin Hassan turut menggesa agar Ramasamy disiasat berikutan telah tular di media sosial berhubung kaitannya denggan kumpulan pengganas LTTE.