Home Artikel PAS Pahang

Pemuda Pahang bantah tutup UNITEN Muadzam

105 views
SHARE

 

Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang membantah penutupan UNITEN Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Muadzam Shah, Rompin bermula Jun 2020 dan menganggapnya sebagai ‘mengambil langkah ke belakang’.

 

Dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media, ketuanya  Ustaz Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin berkata, Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan keputusan yang dikeluarkan daripada persidangan Lembaga Pengarah Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) pada 26 September 2019 yang memberi mandat kepada pengurusan universiti bagi melaksanakan Pelan Integrasi dan Operasi Kampus Berpusat sekaligus membawa kepada penutupan UNITEN kampus berkenaan.

 

Beliau yang juga  ADUN Tahan berkata, dalam usaha negara giat melahirkan modal insan kelas pertama, keputusan ini jelas satu langkah terkebelakang pihak UNITEN dalam menyelesaikan isu kos dan kurang pelajar di UNITEN Muadzam Shah.

 

“Langkah penutupan ini bukanlah solusi terbaik untuk menyelesaikan isu asas UNITEN Muadzam Shah sejak awal penubuhannya. Isu ini seharusnya diuruskan dengan lebih kompeten dengan mengambil kira kepentingan setempat dan kesan jangka masa Panjang.

 

“UNITEN dicadangkan untuk mengggiatkan promosi dan menggalakkan penyertaan golongan muda setempat khususnya di Pahang Timur dan negeri-negeri Pantai Timur yang lain untuk turut serta mengikuti pengajian tinggi dan sederhana di UNITEN dengan fokus dalam bidang pengurusan, perniagaan, akauntan dan sebagainya.

 

“UNITEN Muadzam Shah yang telah hampir 20 tahun operasinya sejak 2001 merupakan antara nadi utama dalam menghidupkan sosio-ekonomi Bandar Muadzam Shah. Bandar ini yang diinspirasikan oleh Tun Abdul Razak untuk menjadi sebuah bandar pendidikan yang memiliki pentadbirannya sendiri sangat membantu dalam pertumbuhan pembangunan dan taraf hidup masyarakat setempat di kawasan Pahang Tenggara dan Selatan,” jelasnya.

 

Tambahnya, penutupan UNITEN sudah tentu akan memberi impak yang besar kepada komoniti setempat sekaligus merencatkan kerancakan pembangunan Muadzam Shah menjadi sebuah Bandar Hub Pendidikan.

 

“Kami juga melahirkan rasa terkilan dengan keputusan pihak pentadbiran khususnya pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) ini yang tidak mengambil kira tanggungjawab sosial korperat (CSR) mereka dalam memutuskan keputusan ini. TNB sebagai antara gergasi GLC kerajaan sewajarnya tidak terlalu memikirkan keuntungan semata-mata dalam setiap tindakan dan keputusan mereka memandangkan mereka juga ‘hidup’ dengan keuntungan yang dikaut daripada poket rakyat jelata.

 

“Seharusnya TNB menjadi pemain utama dalam membantu membangunkan negara dan rakyat khususnya dalam sektor pendidikan tinggi.

 

“Kami ingin menegaskan bahawa penutupan UNITEN kampus Muadzam Shah adalah langkah terkebelakang dan sangat merugikan rakyat di negeri Pahang khususnya di kawasan Pahang Tenggara dan Selatan. Kami mendesak keputusan ini dikaji semula dengan lebih teliti dengan mengambil kira semua faktor untuk jangka masa panjang,” tegasnya.