Home Berita PAS Terengganu

Pemuda berpenyakit ‘aneh’’ terima bantuan

11
SHARE

MARANG – Seorang pemuda Rhu Rendang, Halias Mohamad, 34, disyaki menghidap satu penyakit yang jarang berlaku menyebabkan keseluruhan jari tangannya membiru dan mereput serta menyebabkan perlu menahan kesakitan seperti berdenyut sepanjang masa.

Halias berkata, penyakit tersebut disahkan pihak perubatan sebagai Iskemia iaitu aliran darah dan oksigen berkurangan di bahagian badan tertentu.

“Keadaan seperti ini berlaku sebulan yang lalu, keadaan fizikal mula berubah apabila berat badan saya semakin susut.

“Hampir setiap 10 minit, saya perlu berdiri dan terus berjalan bagi mengelakkan rasa berdenyut dan sakit di bahagian kaki termasuklah waktu malam menyebabkan saya tidak mendapat rehat yang cukup,” katanya.

Keadaan kesepuluh jari pada kedua-dua belah tangan Halias

Dia berkongsi keadaannya ketika menerima kunjungan daripada Isteri Menteri Besar Terengganu, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman di Kampung Medan Jaya, petang semalam.

Jelasnnya juga, selain bahagian tangan, kini jari kakinya juga mula membiru seakan terjadi perkara yang sama.

Turut hadir bersama beberapa agensi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Tabung Darul Iman (TDI), Klinik Kesihatan Marang dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Medan Jaya.

To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman memberikan sumbangan kewangan kepada Halias

“Sebelum ini saya masih mampu berkerja sebagai seorang pengawal keselamatan di Kuala Terengganu, tapi terpaksa berhenti dan terpaksa berulang alik ke hospital.

“Kini saya bergantung kepada isteri yang berkerja sebagai pembantu kedai makan untuk menanggung tiga orang anak yang masih bersekolah dan kecil. Rumah yang disewa juga menjadi beban sekarang,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Isteri Menteri Besar Terengganu, telah memberi sumbangan kewangan kepada Halias serta anak-anaknya selain bantuan perubatan atau sewa rumah daripada MAIDAM, bantuan persekolahan anak-anak daripada JKM, dan bantuan sara diri tahunan daripada TDI.