Home Berita PAS Terengganu

Pemimpin negara daripada kaum penganut islam paling berpengaruh

22
SHARE

Generasi awal umat Islam daripada kalangan para pemimpin dan ulama’ dalam kalangan para sahabat RA merupakan kelompok yang paling memahami pelaksanaan Islam dalam segala aspek, termasuk aspek politik yang tidak berpisah daripada Islam sebagai petunjuk Allah yang sempurna.

Ulama’ secara ijmak (bersepakat) bahawa pelantikan pemimpin negara Islam diwajibkan daripada kalangan penganut Islam. Hal ini sudah menjadi amalan biasa dalam semua negara yang dibentuk, apabila diwajibkan pemimpin daripada kalangan penganut ideologi negara.

Islam bukan sahaja memberi pencerahan dari aspek aqidahnya, termasuklah juga dari aspek pelantikan pemimpin negara yang mesti dilantik daripada kalangan kaum yang menjadi penganut Islam yang paling berpengaruh. Allah SWT berfirman kepada bangsa Arab yang menjadi bangsa pertama memimpin negara:

﴿هَـٰٓأَنتُمۡ هَـٰٓؤُلَآءِ تُدۡعَوۡنَ لِتُنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَمِنكُم مَّن يَبۡخَلُۖ وَمَن يَبۡخَلۡ فَإِنَّمَا يَبۡخَلُ عَن نَّفۡسِهِۦۚ وَٱللَّهُ ٱلۡغَنِيُّ وَأَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُۚ وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم ٣٨﴾

“Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka, ada antara kamu yang bakhil; dan sesiapa yang bakhil, maka sesungguhnya dia hanyalah bakhil terhadap dirinya sendiri. Dan Allah jua yang Maha Kaya, sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya); dan jika kamu berpaling (daripada Islam), nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu ini.” [Surah Muhammad: 38]

Peristiwa yang paling bersejarah menjadi pengajaran kepada umat Islam, apabila selepas kewafatan Rasulullah SAW diadakan mesyuarat dalam kalangan para sahabat RA. Mereka mengadakannya bagi memilih seorang ketua negara. Terdapat tiga calon yang telah dicadangkan:

Abu Bakar daripada kalangan kaum Quraisy, beliau merupakan sahabat yang paling berpengalaman dan akrab bersama Rasulullah SAW ketika berdakwah, berjuang dan berhijrah.

‘Ali bin Abi Talib daripada kalangan Quraisy dan juga berasal daripada keluarga Rasulullah SAW, serta merupakan menantunya dan calon paling muda.

Sa‘ad bin ‘Ubadah daripada kalangan Ansar berasal daripada kabilah Khazraj, asal dari Madinah di mana terletaknya pusat kerajaan Islam.

Setiap yang dicalonkan ada hujahnya. Abu Bakar RA ialah calon paling tua dan akrab kepada Rasulullah SAW. Manakala ‘Ali RA pula merupakan ahli keluarga terdekat. Adapun Sa‘ad bin ‘Ubadah pula berasal dari Madinah yang menjadi pusat kerajaan Islam.

Apabila disebutkan sabda Rasulullah SAW:

الأَئِمَّةُ مِنْ قُرَيْشٍ.

“Para pemimpin hendaklah daripada kalangan Quraisy.” (Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Basriyyin, No. 19777, daripada Abu Barzah al-Aslami dan al-Tabrani dalam al-Mu‘jam al-Awsat, No. 6610, daripada Anas bin Malik)

Hadis ini mentafsirkan ayat al-Quran yang telah disebutkan di atas, selagi kaum Quraisy menjadi kaum yang paling teguh bersama Islam dan berpengaruh. Hal ini disebabkan pemimpin itu wajib mempunyai dukungan terkuat bagi menguasai urusan rakyat dalam kalangan masyarakat majmuk, supaya dipatuhi segala arahannya.

Konsep ini menjadi amalan negara Islam yang silih bertukar bangsa pemimpinnya, sama ada seorang Khalifah atau seorang Amir (Raja) daripada kalangan kaum yang kuat Islamnya dan berpengaruh.

Walaupun perbezaan pendapat yang dinyatakan di atas (soal pemilihan ketua negara) menjadi mazhab fiqh politik Islam, yang kemudiannya dinamakan Syiah berpandukan keluarga berkonsepkan calon ‘Ali KW, dan juga kelompok Khawarij apabila siapa sahaja boleh menjadi pemimpin berkonsepkan calon Sa‘ad bin ‘Ubadah RA. Namun, hujah yang memilih Abu Bakar RA menjadi persetujuan semua pihak dan seluruhnya memberikan baiah kepadanya, serta kalangan mereka ada yang menjadi para wazir (Jemaah Menteri yang membantunya dalam semua urusan negara).

Setelah Islam berkembang ke seluruh pelosok dunia dianut oleh berbagai-bagai bangsa, maka dilantik ketua wilayah daripada kalangan kaum setempat yang menganut Islam. Apabila kaum setempat itu merupakan kelompok yang paling kuat dan berpengaruh, maka dilantik seorang ketua negara Islam yang besar daripada kalangan bangsa bukan Arab seperti bangsa Turki, Kurdi dan lain-lain.

Semua perkara tersebut dirakamkan oleh para ulama’ dalam kitab-kitab karangan mereka dalam lapangan ilmu tafsir al-Quran, hadis , sejarah dan secara khusus dalam fiqh politik yang dinamakan Siasah Syar‘iyyah atau Ahkam al-Sultaniyyah dan kalangan Mazhab Syiah yang menamakannya dengan Wilayah al-Faqih.

Kitab-kitab karangan para ulama’ Islam banyak menjadi kajian para ilmuwan Eropah yang keluar dari era kegelapannya. Apabila mereka masuk ke negara Islam melalui jalan perdagangan dan penjajahan, maka banyak hasil karangan para ulama’ dibawa pulang dan dikaji oleh para ilmuwannya, sekali gus mempengaruhi sistem politiknya.

Islam yang masuk ke Nusantara telah mengislamkan raja dan rakyat, maka dikekalkan Rajanya yang memeluk Islam. Hal ini demikian kerana, Rasulullah SAW sendiri mengekalkan semua raja yang memeluk Islam seperti al-Najashi menjadi Raja Habsyah, raja-raja di Yaman, Masqat dan Oman. Apabila raja-raja itu menganut Islam, secara automatik mereka dikekalkan dan dibantu oleh para sahabat yang ditugaskan bersamanya untuk menyebarkan ilmu Islam.

Apabila negara Islam dijajah dan kini telah beroleh kemerdekaan, sepatutnya dikembalikan semula kedudukan Islam sebagai hukum yang tertinggi, kerana firman Allah SWT:

﴿هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩﴾

“Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (Islam), agar Dia memenangkannya atas segala agama-agama; meskipun orang Musyrik membenci.” [Surah al-Saff: 9]

Islam mempunyai keistimewaan dalam politik negara kerana menjadikannya suatu aspek yang tidak terpisah daripada aqidah beriman kepada Allah dan berwawasan sehingga Hari Akhirat. Firman Allah SWT:

﴿وَجَعَلۡنَا مِنۡهُمۡ أَئِمَّةٗ يَهۡدُونَ بِأَمۡرِنَا لَمَّا صَبَرُواْۖ وَكَانُواْ بِـَٔايَـٰتِنَا يُوقِنُونَ ٢٤ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ يَفۡصِلُ بَيۡنَهُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ فِيمَا كَانُواْ فِيهِ يَخۡتَلِفُونَ ٢٥﴾

“Dan Kami jadikan antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk kepada kaum masing-masing dengan perintah Kami, selagi mereka bersabar. Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami. (24) Sesungguhnya, Tuhanmu Dialah yang memberikan keputusan antara mereka pada Hari Kiamat tentang apa yang mereka sentiasa perselisihkan padanya. (25)” [Surah al-Sajdah: 24-25]

Firman Allah SWT:

﴿يَوۡمَ نَدۡعُواْ كُلَّ أُنَاسِۢ بِإِمَٰمِهِمۡۖ فَمَنۡ أُوتِيَ كِتَٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ فَأُوْلَـٰٓئِكَ يَقۡرَءُونَ كِتَٰبَهُمۡ وَلَا يُظۡلَمُونَ فَتِيلٗا ٧١ وَمَن كَانَ فِي هَٰذِهِۦٓ أَعۡمَىٰ فَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ أَعۡمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلٗا ٧٢﴾

“(Ingatlah) suatu hari (Hari Kiamat yang di hari itu) Kami panggil tiap-tiap umat dengan pemimpinnya; dan sesiapa yang diberikan kitab amalannya pada tangan kanannya, maka mereka ini akan membaca kitabnya itu, dan mereka tidak dizalimi sedikit pun. (71) Dan sesiapa yang buta (mata hatinya) di dunia ini, nescaya di akhirat (nanti) dia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (yang benar). (72)” [Surah al-Isra’: 71-72]

Politik Islam yang beraqidah, berjemaah dan syura (permesyuaratan) dan berkonsepkan adil kepada semua. Perkara ini adalah berpandukan firman Allah SWT:

﴿۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩﴾

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan segala amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (58) Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya, dan ulu al-amri antara kamu. Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (59)” [Surah al-Nisa’: 58-59]

Amanah yang paling besar ialah apabila seseorang itu dilantik menjadi pemimpin negara. Seseorang pemimpin negara hendaklah berprinsipkan aqidah beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, kepimpinan berjemaah (kolektif), Ulu al-Amri (umara’ dan ulama’) dan syura (permesyuaratan).

Abu Bakar RA yang dipilih menjadi pemimpin negara setelah disahkan dengan baiah telah menyampaikan ucapan beliau yang terkenal:

أَمَّا بَعْدُ أَيُّهَا النَّاسُ، فَإِنِّي قَدْ وُلِّيتُ عَلَيْكُمْ وَلَسْتُ بِخَيْرِكُمْ، فَإِنْ أَحْسَنْتُ فَأَعِينُونِي، وَإِنْ أَسَأْتُ فَقَوِّمُونِي، ‌الصَّدْقُ ‌أَمَانَةٌ، وَالْكَذِبُ خِيَانَةٌ، وَالضَّعِيفُ فِيكُمْ قَوِيٌّ عِنْدِي حَتَّى أُرِيحَ عَلَيْهِ حَقَّهُ إنْ شَاءَ اللَّهُ، وَالْقَوِيُّ فِيكُمْ ضَعِيفٌ عِنْدِي حَتَّى آخُذَ الْحَقَّ مِنْهُ إنْ شَاءَ اللَّهُ، لَا يَدَعُ قَوْمٌ الْجِهَادَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ إلَّا ضَرَبَهُمْ اللَّهُ بِالذُّلِّ، وَلَا تَشِيعُ الْفَاحِشَةُ فِي قَوْمٍ قَطُّ إلَّا عَمَّهُمْ اللَّهُ بِالْبَلَاءِ، أَطِيعُونِي مَا أَطَعْتُ اللَّهَ وَرَسُولَهُ، فَإِذَا عَصَيْتُ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَلَا طَاعَةَ لِي عَلَيْكُمْ.

“Wahai sekalian manusia (yang hadir)! Sesungguhnya, aku telah dipilih menjadi pemimpin kamu, padahal aku bukannya yang terbaik dalam kalangan kamu. Sekiranya aku berlaku baik, maka tolonglah aku. Sekiranya aku berlaku tidak baik, maka perbetulkanlah aku. Benar adalah amanah, bohong adalah khianat. Orang yang lemah dalam kalangan kamu adalah kuat di sisiku, sehingga aku mengembalikan haknya (yang dirampas secara zalim), insya-Allah. Manakala orang yang kuat dalam kalangan kamu adalah lemah di sisiku, sehingga aku mengambil hak (yang dirampas secara zalim) daripadanya, insya-Allah. Tiadalah suatu kaum itu meninggalkan jihad (meninggikan Islam) melainkan Allah menimpakan kehinaan ke atas mereka, dan tiadalah tersebarnya kejahatan dalam suatu kaum melainkan bala bencana turut menimpa mereka. Taatilah aku selagi aku mentaati Allah dan Rasul. Sekiranya aku tidak mentaati Allah dan Rasul, maka jangan lagi kamu mentaatiku.” [Ibn Hisham, al-Sirah al-Nabawiyyah, Jld. 2, Hlm. 661]

Ucapan dasar di atas telah menjadi panduan kepada semua pemimpin negara Islam sepanjang zaman.

Prinsip aqidah adalah roh kepada sesebuah kerajaan, adapun kepimpinan negara itu pula akan dihisab mengikut perhitungan dosa dan pahala bukan sekadar undang-undang di dunia sahaja. Demikianlah perkara yang tidak wujud sama sekali dalam mana-mana ideologi sekularisme yang menjadikan keadaan manusia tidak mampu mengawal akal dan nafsu yang menjadi nalurinya.

Islam berjaya memerintah negara masyarakat majmuk selama 14 abad lamanya dalam wilayah yang paling besar dan paling luas. Kedatangannya disambut menjadi penyelamat, bukan menjadi penjajah oleh wilayah kuasa besar dunia sebelumnya iaitu Parsi dan Rom.

Ramai rakyatnya menerima Islam yang dianut oleh pelbagai bangsa tanpa sebarang paksaan. Malah, masih ada penganut pelbagai agama di bekas wilayah itu sehingga kini masih kekal menganut agama asalnya bersama cara hidup masing-masing. Bahkan, rumah ibadat masing-masing yang dibina sebelum kedatangan Islam juga masih wujud. Semua perkara ini menandakan pelaksanaan konsep tiada paksaan beragama dan reda berada di bawah kerajaan Islam yang adil kepada semua.

Islam juga mengambil manfaat daripada semua tamadun ilmu yang bermanfaat daripada kalangan semua bangsa bagi menunaikan kewajipan menguruskan kehidupan dunia yang menjadi fardu kifayah dalam agama Islam.

Selain itu, golongan bukan Islam juga dilibatkan dalam aspek politik dan ekonomi yang tidak menyentuh dasar Islam, dalam persamaan konsep kemanusiaan sejagat.

Negara Malaysia yang mencapai kemerdekaannya telah meletakkan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan menjadi agama bagi Persekutuan mengikut desakan parti-parti yang ada sejak awal proses menuntut kemerdekaan.

Sepatutnya Islam dalam Perlembagaan Persekutuan ditafsirkan mengikut makna al-din daripada bahasa al-Quran, bukan dengan perkataan agama dalam bahasa lain yang memberikan makna daripada konsep sekularisme yang salah kerana bercanggah dengan ajaran Islam.

Inilah titik persamaan antara PAS dan UMNO (termasuk komponen Parti Perikatan) yang berada dalam Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1955 Pra-Kemerdekaan, ketika DAP dan rakan-rakannya dalam Pakatan Harapan belum wujud.

Maka, jawapan saya kepada Lim Kit Siang, bahawa kepimpinan negara Malaysia wajib ditetapkan seorang Islam dan daripada kaum Melayu.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 26 Jumada al-Ula 1445 / 10 Disember 2023

[Bil: 102 / 2023]