Home Berita PAS Selangor

Pemimpin Kalut Dengan Politik – Laman Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Negeri Selangor | Ustaz Shafie Bin Ngah

502
SHARE

Oleh : Ustaz Shafie Bin Ngah

Rakyat kalut pasal covid, pemimpin kalut pasal politik!
Adakah patut?!

Zaman awal Islam dulu ada juga cerita begini.
Dulu, masa wafatnya Rasulullah SAW orang politik kalut bersidang bincang siapa akan ganti Rasulullah.

“Kenapa tak tunggu selesai pengkebumian jenazah baginda yang mulia dulu? Hal politiknya boleh tangguh kejap tak?” “Dok cerita pasal siapa jadi khalifah, tak sedih ke kewafatan Rasulullah ni?”.

Begitulah antara rungutan (mungkin juga viral) pada masa itu tatkala para kibarussahabah (sahabat-sahabat besar) bersidang di balai Saqifah Bani Sa’idah. Mereka berbincang hal politik. Hal pemerintahan negara.

Rungutan seperti itu menjadi polemik baru pada masa itu. Namun polemik tersebut lama-kelamaan menjadi barah dan penyakitnya tiada kesudahan membawa ke hari ini sehingga ummat Islam berpecah dengan aliran-aliran mazhab yang berbalah sesama sendiri.

Bolehkah kita kata para kibarussahabah yang bersidang di balai Saqifah Bani Sa’idah; “adaka patut?”. Tak boleh kan.

Apakah point penting yang mendorong para kibarussahabah berbincang tentang siapa pengganti Rasulullah setelah wafatnya baginda SAW, sedang pada masa yang sama jasad Rasulullah SAW yang mulia masih belum disemadikan? Point pentingnya ialah urusan kepimpinan negara adalah urusan menjaga maslahah iaitu maslahah rakyat dan maslahah ummah. Urusan tersebut mesti didahulukan sekalipun ada urusan lain yang tidak kurang pentingnya.

Islam mengajar kita tentang kewajiban memelihara maslahah. Malah, dalam konteks pemimpin negara ada kaedah fiqh yang mengatur urusan ini iaitu;

تصرف الامام على الرعية منوط بالمصلحة

“Tanggungjawab pemimpin terhadap rakyatnya mesti tertumpu kepada maslahah”

Apakah maksud maslahah? Al-Imam Ibnu Taimiyyah menyebut maslahah itu ada dua. Pertama memelihara kepentingan agama. Kedua memelihara urusan dunia (urusan manusia) – urusan dunia yang membantu menegakkan urusan agama.

Pemimpin yang faham bahawa tanggungjawab pentingnya adalah menjaga maslahah – memelihara kepentingan agama, mesti mencari jalan supaya tidak membiarkan anasir-anasir perosak agama (samada secara langsung atau tidak langsung) berkuasa. Jika dibiarkan juga jahanamlah kepentingan agama.

Urusan dunia tidak pentingkah? Jawabnya; siapa yang kata urusan dunia tidak penting? Penting. Cuma ada yang penting dan ada yang lebih penting.

Sefaham saya Islam juga mengajar kita mengatur prioriti dalam menjaga urusan agama dan dunia. Ia terangkum di dalam ‘maqasid syar’iyyah’ iaitu; memelihara agama, memelihara nyawa, memelihara akal, memelihara keturunan dan memelihara harta. Para ulama menyimpulkan urusan memelihara agama mesti didahulukan berbanding yang lain. Maknanya semua urusan itu penting. Namun dalam banyak-banyak yang penting itu, paling penting adalah memelihara agama.

Jaga agama jangan sampai diporak peranda.

Mendahulukan penjagaan agama dalam memilih yang terpenting berbanding yang penting itulah adilnya seseorang pemimpin.

Ringkasnya, dalam menghadapi polemik politik dan wabak pendemik ini para pemimpin Islam mesti berfikir dengan kepala dingin.

Kot manapun dan bila-bila masapun polemik mesti ada krisis pasti wujud. Jadi hadap saja jangan lari.

Sebagai pemimpin Islam, ambillah sumber-sumber Islam sebagai panduan. Insya Allah, Allah bantu.

Ini bukan soal sengaja buat kalut dengan politik tapi ini soal menghadapi kekalutan politik. Itupun jika kepemimpinan anda diganggu. Jika tidak, teruskan kerja macam biasa bantu rakyat yang sedang menghadapi covid.

Satu lagi……Kaedah اخف الضرارين – ‘ambil mudharat ringan berbanding mudharat berat’.

Maksudnya, pemimpin yang adil ialah pemimpin yang bijak menentukan yang mana lebih awla (utama), dalam konteks berhadapan dengan dua mudharat yang sedang dihadapinya. Untuk membantu memilih yang mana satu, Islam mengajar kita untuk memilih mudharat yang lebih ringan berbanding mudharat yang berat. Sekalipun mudharat ringan itu juga mudharat, terpaksa ambil juga. Sebab? Untuk menolak mudharat yang lebih berat. Itu yang saya faham dalam konteks membuat keputusan.

Justeru, wahai para pemimpin tetapkanlah pendirian kalian. Ambil Islam sebagai panduan.

Tenang tenang saja bah!

Mungkin hadith-hadith berikut boleh memberi khabar gembira kepada para pemimpin yang adil dalam membuat keputusan.

“Satu hari bagi seorang pemimpin yang adil, adalah lebih baik daripada menekuni ibadah selama enam puluh tahun ….” (At-Tabrani)

“Antara orang yang Allah paling suka di akhirat kelak ialah pemimpin yang adil. Dan antara orang yang Allah paling tidak suka ialah pemimpin dan jahat.” (At-Tirmizi)

“Tujuh orang yang akan mendapat lindungan Allah, pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan-Nya (di hari mahsyar) ialah; (satu) pemimpin yang adil. (dua) …..”

Moga ada manfaat.

Ustaz Shafie Bin Ngah
Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Negeri Selangor

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemperkukuhPerpaduan
#MediaPASSelangor