Oleh :- Muhammad Abdul Fateh
Wangsa Maju, 04 Jun 2025 — Seluruh warga PAS Wangsa Maju hari ini dikejutkan dengan berita pemergian seorang pejuang muda yang istiqamah dan komited dalam perjuangan Islam di medan media — Allahyarham Muhammad Aizat Amni, 25 tahun.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.45 pagi di Markas PAS Kawasan Wangsa Maju, tempat beliau sering berkhidmat dengan penuh dedikasi dan kasih terhadap jemaah.
Menurut laporan post-mortem, Aizat telah meninggal dunia akibat serangan jantung semasa tidur. Kehilangannya amat dirasai terutama dalam kalangan sahabat seperjuangan yang mengenali keteguhan semangat serta kelunakan akhlaknya.
Allahyarham yang juga merupakan Ketua Penerangan Pemuda PAS Wangsa Maju, dikenali sebagai pemuda yang cekal, istiqamah dan gigih memperjuangkan suara Islam melalui medium media sosial. Sumbangannya dalam memartabatkan perjuangan PAS di alam maya tidak pernah surut meskipun diuji dengan pelbagai cabaran.
Yang Dipertua PAS Kawasan Wangsa Maju, Ustaz Abdul Rani bin Mohamed Daud, dalam satu kenyataan ringkas menyatakan rasa dukacita mendalam atas pemergian anak muda yang sangat berdedikasi itu.
“Aizat adalah permata dalam jemaah kita. Pemergiannya satu kehilangan besar. Semoga Allah merahmati rohnya dan menempatkannya bersama para solihin,” ujar beliau dalam nada yang sebak.
Ketua Pemuda PAS Wangsa Maju, Beyhaqi Ramli, turut menyifatkan Aizat sebagai seorang pemuda yang komited dalam bekerja, tidak pernah menolak tugasan walaupun dalam keletihan.
“Beliau sentiasa hadir dalam program, selalu menjadi tulang belakang dalam gerak kerja media. Aizat bukan sekadar rakan, dia adalah saudara perjuangan yang tulus,” katanya.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Muhammad Aizat Amni, mengampunkan segala dosanya serta mengangkat darjatnya di sisi Allah. Al-Fatihah.