Home Berita PAS Terengganu

Pembinaan Ummah Bermula Dari Rumah

13
SHARE

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU – Usaha pembinaan ummah yang kukuh harus dimulakan dari rumah dengan menekankan pendidikan awal, terutamanya bagi anak-anak perempuan sedang membesar.

Ahli Jawatan Kuasa Kerja Muslimat PAS Pusar, YB Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, potensi untuk menjadi pemimpin ummah sebenarnya telah bermula seawal usia lima hingga enam tahun.

“Jika kita ingin membina tamadun yang maju ke hadapan, transformasi dan reformasi mesti berlaku berlandaskan sumber ilmu, bukan reformasi bersifat luaran sahaja.

“Saya turut menekankan strategi pembinaan akidah sebagai tunjang kepada kekuatan ummah,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata demikian ketika berucap dalam majlis Makan Malam di Dewan Duyong Marina & Resort pada Jumaat, 4 Oktober.

Katanya, masyarakat di Palestin adalah contoh, komuniti yang tidak memulakan kehidupan mereka dengan berfikir tentang harta benda atau kewangan semata-mata, tetapi lebih mengutamakan pembinaan akidah.

“Anak-anak yang lahir di sana dikira sebagai benteng pertahanan ummah.

“Setiap perkahwinan dijalankan dengan akidah jelas, dan inilah yang memberi mereka kekuatan walaupun dalam keadaan perang.

“Sebab itu, pada hari ini sekalipun dalam keadaan perang anak-anak mereka boleh menghafal Al-Quran, hadis, tidak ada yang merungut, membebel, membelakangi perjuangan kerana mereka besarkan anak mereka dengan akidah,” katanya.

Beliau menambah, berbeza dengan keadaan di Malaysia di mana anak-anak sering dibesarkan tanpa penekanan kepada nilai-nilai akidah yang kukuh, malah ada yang dibesarkan dengan pengaruh muzik dan hiburan.

“Kalau dulu masyarakat kita ayun anak dengan ‘La ilaha illallah’ tak kiralah siapa tapi hari ini anak-anak kita diayun diiringi muzik dan hiburan.

“Maknanya pembinaan akidah tidak dipastikan berlaku dalam rumah tangga,” ujarnya.

Selain itu, Mumtaz turut membandingkan keadaan ibu tunggal di Malaysia dan Palestin.

Menurut beliau, ibu-ibu tunggal di Palestin tetap meneruskan kehidupan mereka selepas kehilangan suami, malah berkahwin semula untuk melahirkan lebih banyak pejuang demi mempertahankan ummah.

“Kita seorang anak tak boleh nak jaga, fikir ekonomi, kekuatan akidah mereka di sana, mereka boleh kahwin dan teruskan kehidupan nak kembangkan masyarakat,

“Nak kembangkan anak sebagai benteng perjuangan ummah dan boleh memelihara serta menjaga pertambahan anak-anak,” ujarnya.

Beliau juga menegaskan bahawa ekonomi negara harus digunakan untuk menjaga akidah keluarga, dengan fokus kepada anak-anak, suami, isteri, dan seluruh keluarga.

“Menekankan bahawa semua keputusan ekonomi, pergaduhan, dan perbincangan keluarga harus berlandaskan akidah yang kukuh.

“Dalam persiapan akidah, menggariskan perancangan jangka pendek, sederhana, dan panjang.

“Anak-anak yang dilahirkan harus disiapkan untuk berkorban demi menjaga akidah dan agama, bukan semata-mata untuk tujuan lain,” jelasnya.

YB Mumtaz juga menekankan pentingnya pembinaan ilmu dalam keluarga.

Oleh itu, beliau menggesa agar setiap rumah mempunyai perpustakaan kecil bagi memastikan anak-anak memiliki bekalan ilmu yang cukup untuk membezakan antara yang benar dan salah.

Katanya, beliau turut menyarankan agar pusat perpindahan banjir diisi dengan program-program ilmu bagi memberi pengisian rohani dan intelektual kepada mangsa bencana.

Justeru itu, beliau menyeru agar masyarakat memberi perhatian kepada pembinaan jati diri melalui akidah, ilmu, sejarah, dan adat sebagai strategi untuk jangka panjang, sederhana, serta pendek bagi negara.