Home Berita PAS Pahang

Pembinaan jambatan RM25 juta di Alor Ladang diharap segera dilaksanakan – ADN BESERAH

3
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

KUANTAN, 28 Dis – Penyelesaian banjir kilat di kawasan Alor Ladang, Taman Beserah dan Bukit Gelugor bergantung sepenuhnya kepada pembinaan jambatan baharu bagi menggantikan struktur pembetung (culvert) sedia ada, tegas Ahli Dewan Negeri Beserah, YB Dato’ Andansura Rabu.

Menurut beliau, sistem pembetung yang digunakan sekarang tidak lagi mampu menampung kapasiti aliran air dari kawasan perumahan dan kampung berdekatan, terutama pada musim tengkujuh serta dengan pertambahan pembangunan baharu.

“Banjir kilat susah nak selesai selagi jambatan tersebut tidak dibina menggantikan pembetung sedia ada,” katanya melalui kenyataan di laman sosialnya hari ini.

Andansura menambah bahawa aliran air dari seluruh kawasan Alor Ladang, Taman Beserah dan Bukit Gelugor bertumpu ke pembetung itu sebelum mengalir ke laut, menjadikan keupayaan struktur tersebut sangat kritikal.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan memberi keutamaan kepada pembinaan jambatan berkenaan agar masalah limpahan air dapat ditangani segera.

Tambahnya, peruntukan bagi kerja tersebut sebenarnya telah diluluskan beberapa tahun lalu. Namun penyelarasan semula perlu dilakukan kerana melibatkan kos tambahan untuk mengalihkan utiliti seperti paip air, kabel elektrik dan rangkaian komunikasi.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan telah meluluskan peruntukan baharu dan memasukkan projek tersebut ke dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026–2030, dengan anggaran kos melebihi RM25 juta.

“Namun saya tiada maklumat bila ia akan dilaksanakan dalam tempoh tersebut. Pelaksanaannya bergantung kepada keputusan kerajaan,” ujarnya.

Selain itu, beliau menekankan pentingnya kerajaan meneliti pemetaan laluan saliran, mewartakannya serta mengambil alih tanah persendirian yang terlibat.

“Ini merupakan penyelesaian jangka panjang bagi memudahkan kerja penyelenggaraan dan menaik taraf sistem saliran. Ia juga boleh membantu menangani isu-isu saliran berkaitan pembangunan baharu,” jelasnya.

Beliau mengingatkan bahawa tanpa penyelesaian menyeluruh ini, penduduk di kawasan terbabit akan terus berhadapan risiko banjir kilat untuk tahun-tahun mendatang.