Home Berita PAS Terengganu

Pembekal Senjata Kepada Pengganas Menjadi Pendamai

6
SHARE

Minda Presiden PAS

Inilah antara perkara luar biasa dalam dunia yang perlu ditambah lagi dalam senarainya, bersama piramid lambang kezaliman Firaun di Mesir dan lain-lain yang dianggap sebagai tamadun bersejarah pada zaman purba yang disenaraikan kerana kehebatannya yang menakjubkan tanpa mengira keadilan atau kezalimannya.

Boleh dianggap luar biasa tindakan dan peranan Amerika Syarikat serta negara blok Barat bersamanya yang menjaja demokrasi dan hak asasi manusia, apabila mereka terbabit menubuhkan negara haram bernama Israel dengan cara yang ganas iaitu merompak bumi Palestin. Sehinggakan, bertindak menghalau penduduk asalnya secara paksa, merompak dengan cara yang paling melampau, malah membunuh dan berperang sehingga melanggar undang-undang antarabangsa yang telah disabitkan keputusannya oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (International Court of Justice – ICJ).

Kedudukan dan keputusannya laksana sarang labah-labah yang hanya mampu menangkap serangga kecil dan lemah, namun dapat dimusnahkan dengan mudah oleh helang yang ganas. Inilah sifat Amerika Syarikat dan sekutunya yang tiba-tiba menonjol menjadi pendamai nombor satu bagi memaksa Palestin yang dizalimi berdamai terhadap Israel yang paling zalim itu.

Amerika Syarikat dan sekutunya tetap berpegang kepada dasar yang menjadi prinsip imperialisme dan kolonialisme silam dengan menegakkan politik penjajahan yang salah dan paling zalim. Sehinggakan, apa yang dilakukan itu membatalkan sifat fitrah kemanusiaan dan berkuasa dengan melaksanakan undang-undang hutan rimba dalam kalangan binatang buas, bahkan lebih dahsyat dan lebih hina daripada binatang yang tidak berakal seperti yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:

وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبٞ لَّا يَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٞ لَّا يُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٞ لَّا يَسۡمَعُونَ بِهَآۚ أُوْلَـٰٓئِكَ كَٱلۡأَنۡعَٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡغَٰفِلُونَ ١٧٩

“Dan sesungguhnya, Kami jadikan untuk (isi Neraka Jahannam) kebanyakan daripada jin dan manusia. Mereka mempunyai hati, (tetapi) tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah), dan mereka mempunyai mata, (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga, (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” [Surah al-A‘raf: 179]

Sifat binatang ternak adalah lebih bodoh daripada binatang liar yang mengganas kerana boleh dipergunakan dan disembelih menjadi makanan, tidak semudah binatang liar yang buas.

Negara besar itu yang menamakan kumpulannya sebagai pejuang kebebasan dan pelindung hak asasi manusia serta pejuang demokrasi dunia, dalam pada itu boleh pula bersama kumpulan Yahudi Zionis yang paling dimurkai dan dilaknat Allah, kerana kezaliman melampau mereka yang merosakkan kehidupan manusia dan alam sejagat. Firman Allah SWT:

وَقَالَتِ ٱلۡيَهُودُ يَدُ ٱللَّهِ مَغۡلُولَةٌۚ غُلَّتۡ أَيۡدِيهِمۡ وَلُعِنُواْ بِمَا قَالُواْۘ بَلۡ يَدَاهُ مَبۡسُوطَتَانِ يُنفِقُ كَيۡفَ يَشَآءُۚ وَلَيَزِيدَنَّ كَثِيرٗا مِّنۡهُم مَّآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ مِن رَّبِّكَ طُغۡيَٰنٗا وَكُفۡرٗاۚ وَأَلۡقَيۡنَا بَيۡنَهُمُ ٱلۡعَدَٰوَةَ وَٱلۡبَغۡضَآءَ إِلَىٰ يَوۡمِ ٱلۡقِيَٰمَةِۚ كُلَّمَآ أَوۡقَدُواْ نَارٗا لِّلۡحَرۡبِ أَطۡفَأَهَا ٱللَّهُۚ وَيَسۡعَوۡنَ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَسَادٗاۚ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُفۡسِدِينَ ٦٤

“Orang-orang Yahudi berkata, ‘Tangan Allah terbelenggu.’ Sebenarnya, tangan merekalah yang dibelenggu dan merekalah yang dilaknat disebabkan apa-apa yang telah mereka katakan itu. (Tidak demikian), tetapi kedua-dua Tangan Allah terbuka; Dia menafkahkan sebagaimana Dia kehendaki. Dan al-Quran yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu sungguh-sungguh akan menambah kederhakaan dan kekafiran bagi kebanyakan antara mereka. Dan Kami telah timbulkan permusuhan dan kebencian antara mereka sampai Hari Kiamat. Setiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya, dan mereka berbuat kerosakan di muka bumi, dan Allah tidak menyukai orang-orang yang membuat kerosakan.” [Surah al-Ma’idah: 64]

Firman Allah SWT:

… وَضُرِبَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلذِّلَّةُ وَٱلۡمَسۡكَنَةُ وَبَآءُو بِغَضَبٖ مِّنَ ٱللَّهِۗ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ كَانُواْ يَكۡفُرُونَ بِـَٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ بِغَيۡرِ ٱلۡحَقِّۗ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّكَانُواْ يَعۡتَدُونَ ٦١

“…Lalu ditimpakanlah kepada mereka nista dan kehinaan, serta mereka mendapat kemurkaan daripada Allah. Hal itu (terjadi) kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan membunuh para Nabi yang memang tidak dibenarkan. Demikian itu (terjadi) kerana mereka selalu berbuat derhaka dan melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 61]

Merekalah umat yang paling derhaka terhadap Allah dan paling zalim sehingga membunuh para rasul dan anbiya’ sebagai manusia terbaik pilihan Allah, bahkan mereka kini adalah golongan yang paling ganas sebagaimana yang dibuktikan melalui pembunuhan paling kejam di Palestin yang disaksikan oleh seluruh dunia. Mereka membunuh kanak-kanak, wanita, warga tua, dan pesakit, sehingga dikutuk oleh seluruh manusia yang berperikemanusiaan daripada berbagai-bagai bangsa dan agama.

Malangnya, pengaruh ekonomi, politik, dan media yang dikuasai oleh Zionis yang paling melampau, zalim, dan ganas menjadikan negara Zionis itu dapat membeli dan mempengaruhi kuasa besar blok Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah. Semua ini berlaku semata-mata kerana pengaruh kekuasaan dengan menghalalkan segala cara walaupun paling tidak bermoral.

Tanpa rasa malu, mereka menonjolkan diri menjadi juara pendamai, padahal pada masa yang sama, mereka membekalkan segala senjata pemusnah paling ganas kepada negara haram Israel atas nama menjaga keselamatan dan keamanannya, dengan mengorbankan rakyat yang lemah dan paling berhak terhadap tanah air mereka. Kemudian, mereka berpura-pura pula memberikan bantuan kemanusiaan yang terlalu sedikit. Adapun bantuan senjata yang berganda nilai kewangannya, bertali arus sehingga mengorbankan ekonomi dan rakyat negara sendiri. Apakah spesies manusia yang begini sifatnya?

Malangnya, ada pula para pemimpin negara yang menjadi pengikut tanpa mempedulikan protes rakyat yang berperikemanusiaan yang tidak dapat menahan perasaan terhadap kezaliman dan keganasan paling melampau.

Lebih malang pula, wujud dalam kalangan negara Arab dan Islam yang tidak tersentuh perasaan mereka terhadap kezaliman yang berlaku, tanpa peduli akan amaran Allah SWT:

فَٱسۡتَقِمۡ كَمَآ أُمِرۡتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطۡغَوۡاْۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٞ ١١٢ وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ ١١٣

“Maka, tetaplah kamu di jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat berserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya, Dia Maha Melihat apa-apa yang kamu kerjakan. (112) Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api Neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberikan pertolongan. (113)” [Surah Hud: 112–113]

Lebih memalukan negara Islam apabila ada negara bukan Islam di Afrika dan Amerika Latin bertindak memutuskan hubungan dengan negara Israel.

Inilah golongan yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:

أَفَلَمۡ يَسِيرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَتَكُونَ لَهُمۡ قُلُوبٞ يَعۡقِلُونَ بِهَآ أَوۡ ءَاذَانٞ يَسۡمَعُونَ بِهَاۖ فَإِنَّهَا لَا تَعۡمَى ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَلَٰكِن تَعۡمَى ٱلۡقُلُوبُ ٱلَّتِي فِي ٱلصُّدُورِ ٤٦

“Maka, adakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya, bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang dalam dada.” [Surah al-Hajj: 46]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 14 Safar 1446 / 19 Ogos 2024

[Bil: 34 / 2024]