Oleh : HABSAH ALI
KUANTAN, 26 Dis – “Pembangunan yang tidak terancang menyusahkan kami, terutama ketika musim hujan,” kata seorang penduduk Kampung Jeram Beserah Abdullah Hashim, di sini kelmarin.
Beliau berkata demikian kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah YB Dato’ Andansura Rabu ketika turun padang setelah menerima aduan rakyat di lokasi berkenaan.
Menurut Abdullah Hashim, aduan telah dibuat kepada Ketua Kampung dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) sebelum ini, namun tiada maklum balas diterima dari mereka.
Sementara itu Andansura Rabu berkata, air bertakung lama ketika hujan lebat memberi kesan kepada penduduk sekitar, akibat dari pembangunan projek perumahan berhampiran Pondok As Salikin.
“Majlis Bandaraya Kuantan dan pemaju harus bertanggungjawab memastikan projek pembangunan ini tidak mendatangkan mudarat kepada komuniti setempat.
“Ini termasuklah mengadakan penilaian impak alam sekitar yang menyeluruh sebelum memulakan sebarang pembinaan,” kata beliau.
Pihak ADN Beserah dijangka mengadakan perbincangan bersama (MBK) dan pemaju projek perumahan tersebut dalam masa terdekat untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Kita berharap isu ini dapat diselesaikan dengan segera dan mendapat perhatian daripada pihak yang bertanggungjawab, bagi mengelakkan masalah berulang di masa hadapan,” kata Andansura Rabu lagi.