KUALA TERENGGANU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail menyuarakan kebimbangan terhadap kekurangan projek pembangunan fizikal yang dilaksanakan di Hulu Terengganu berbanding kawasan lain di negeri ini.
Beliau berkata, semasa meneliti senarai perancangan pembangunan negeri, daerah Hulu Terengganu kelihatan kurang diberi perhatian dan tidak seimbang dari segi agihan projek.
“Bila tengok senarai yang keluar itu, tiada di kawasan Hulu Terengganu, kalau ada pun ‘ciput’ je,” katanya secara berseloroh ketika berucap dalam perbahasan titah DYMM Sultan Terengganu di Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Menurut beliau, keadaan ini sedikit sebanyak menjejaskan semangat rakyat di kawasan pedalaman yang juga mahu menikmati kemajuan dan pembangunan yang adil.
“Kita berharap selepas ini jangan dipinggirkan kawasan Hulu Terengganu,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa kawasan Hulu Terengganu mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian dan pelancongan, dan seharusnya dilibatkan secara aktif dalam perancangan pembangunan masa depan negeri.