Home Berita PAS Terengganu

Pembangunan Tasik Kenyir tidak terhenti walau KETENGAH enggan bekerjasama

26
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu tetap komited meneruskan pembangunan Tasik Kenyir walaupun tanpa sokongan KETENGAH, yang sehingga kini enggan bekerjasama dalam usaha memajukan destinasi pelancongan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris, berkata bahawa keengganan KETENGAH untuk berbincang dan menjalinkan kerjasama telah menyekat potensi penuh Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Menurutnya, pihaknya juga telah menghantar surat rasmi bagi mengadakan perbincangan serta kunjung hormat dengan pihak KETENGAH, namun sehingga kini tiada maklum balas diberikan.

“Walaupun berdepan cabaran, kerajaan negeri tetap komited melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan penambahbaikan di Tasik Kenyir bagi menarik lebih ramai pelancong serta merancakkan ekonomi setempat.

“Antara inisiatif utama yang sedang berjalan ialah pembinaan sebuah hotel bertaraf tiga bintang di Pulau Poh yang dijangka siap pada pertengahan 2025. Hotel ini diharap dapat menyediakan penginapan selesa dan menarik lebih ramai pelancong ke kawasan tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Perbincangan Terengganu International Paramotor Challenge 2025 oleh Pronto Prima bertempat di Primula Beach Hotel pada hari ini.

Razali berkata, projek pembesaran Kenyir Waterpark turut dilaksanakan bagi meningkatkan daya tarikan taman tema air tersebut.

“Inisiatif Kenyir Island Hopping juga diperkenalkan dengan pembinaan sebuah jambatan ikonik yang menghubungkan beberapa pulau utama di Tasik Kenyir, sekali gus memudahkan akses pelancong ke pelbagai lokasi menarik di sekitar tasik.

“Dalam aspek pemuliharaan alam sekitar, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada langkah-langkah pemuliharaan berikutan pengisytiharan Tasik Kenyir sebagai Geopark. Ini bagi memastikan kelestarian flora dan fauna di kawasan tersebut terus terjaga untuk generasi akan datang,” ujarnya.

Tambahnya lagi, bagi memastikan Tasik Kenyir terus dikenali sebagai destinasi pelancongan utama, kerajaan negeri akan mempergiatkan usaha promosi melalui pelbagai saluran, termasuk platform digital dan penganjuran acara khas.