Home Berita PAS Terengganu

Pembangunan rohani menjadi keutamaan

124
SHARE

Oleh : Pyang Mamat

KEMAMAN – Selain pembangunan material untuk rakyat, pembinaan jiwa amat penting dalam membangun sesebuah negeri maupun negara.

Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman, Ustaz Hazri Jusoh berkata, dalam memajukan masyarakat dengan kebendaan duniawi jangan tertinggal kemajuan akhirat.

“Persepsi masyarakat kita perlu diperbetulkan. Soal pembangunan, menyelesaikan masalah tanah, masalah jalan dan sebagainya adalah menjadi tanggungjawab kepada pemerintah sesebuah negeri.

“Malah kerajaan komunis atau kapitalis sekalipun memenuhi tanggungjawab mereka terhadap rakyatnya dengan lebih hebat lagi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian PASTI Bestari Nur Iman di Kampung Payoh, Kijal pada Jumaat 18 Mac.

Menurut beliau, dasar dan arah tuju sesebuah kerajaan perlu diambil kira dan dipertimbangkan dengan akal yang waras.

“Yang lebih penting adalah tanggungjawab kita sebagai pemerintah dalam memastikan seluruh masyarakat kita beriman dengan ajaran islam, bertaqwa dan pergantungan hanyalah kepada Allah.

“Oleh itu, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) adalah salah satu platform awal yang baik dalam pembentukan jiwa, insan dan akhlak kepada anak-anak kita,” ujarnya.

“Dengan sedikit kuasa pemerintah yang ada ini, alhamdulillah kita permudahkan urusan pembinaan pusat pendidikan islam dalam membentuk generasi yang akan menggemerlapkan cahaya islam,” katanya.

Pengarah MTD Kijal itu juga berharap agar akan terbina lagi PASTI dikampung lain dalam menampung keperluan pembelajaran awal islam yang menjadi keperluan dan perhatian para ibubapa kebelakangan ini.