Home Berita PAS Pusat

Pembakaran Masjid Dhirar: Penghancuran Gerakan Munafik (29 Ramadhan 9)

1478
SHARE

RAMADHAN DAN PERJUANGAN

PEMBAKARAN MASJID DHIRAR: PENGHANCURAN GERAKAN MUNAFIK (29 RAMADHAN 9)


PADA saat Nabi SAW sedang bersiap menuju ke Tabuk untuk memerangi pasukan Rom yang mengancam Islam dari utara, orang-orang munafik di Madinah diketuai oleh Abu Amir ar-Rahib dan anak saudaranya, Abdullah bin Ubai telah mengadakan pakatan sulit dengan Kaisar Rom, Heraclius untuk memerangi Islam. Dalam masa yang sama, mereka telah mendirikan sebuah masjid untuk menyaingi Masjid Quba’ yang dibangunkan oleh Rasulullah SAW. Menjelang bertolaknya Nabi SAW ke Tabuk, orang-orang munafik telah menjemput Nabi SAW untuk bersolat di masjid tersebut sebagai pengiktirafan terhadap masjid tersebut. Pada mulanya, Nabi SAW bersetuju dengan pelawaan mereka, tetapi Baginda SAW telah menangguhkannya kerana kesibukan persiapan perang sehingga selesai Perang Tabuk.

Masjid yang dinamakan oleh al-Quran sebagai Masjid Dhirar ini telah menjadi simbol pergerakan golongan munafik di Madinah. Mereka bertujuan memecah-belahkan umat Islam, melemahan kekuatan Islam dan menentang Allah dan Rasul-Nya dari masjid tersebut. Pendiri masjid ini ialah Abu Amir ar-Rahib, seorang pembesar Khazraj yang beragama Nasrani. Dia tidak pernah memeluk Islam, bahkan terlibat bersama musyrikin Mekah dalam Perang Badar (2H), Perang Uhud (3H) dan Perang Khandak (5H) untuk memerangi Islam. Abu Amir ar-Rahib mengajarkan orang Madinah tentang Nasrani dan mempengaruhi mereka menentang Islam. Oleh kerana gerakannya gagal, dia akhirnya menerobos masuk dalam kalangan orang Islam untuk mengkhianati Islam dari dalam.

Masjid Dhirar: Markaz Munafik Melawan Islam

Sebagaimana yang telah didedahkan oleh al-Quran bahawa Masjid Dhirar yang didirikan oleh golongan munafik adalah penzahiran sikap mereka yang selama ini menerangi Allah dan Rasul-Nya. Masjid ini dijadikan markaz untuk memecahkan-belahkan umat Islam, mengembangkan kekafiran, mendatangkan kemudharatan kepada Islam dan menjadi tempat berkumpul musuh-musuh Allah. Mereka membentuk pergerakan anti-Islam atas nama masjid dan cuba memperalatkan Nabi SAW supaya bersolat di masjid mereka sebagai pengiktirafan, sekali gus mengelirukan orang mukmin terhadap pergerakan jahat mereka.

Selain bersekongkol dengan orang musyrikin Mekah untuk melawan Islam, Abu Amir ar-Rahib telah menemui Kaisar Heraclius untuk memujuknya memerangi Nabi SAW dan umat Islam. Raja Rom itu bersetuju dengan gesaan Abu Amir ar-Rahib untuk memerangi Islam, lalu membuat gerakan di Dumah dan mengatur tentera yang membawa kepada Perang Tabuk. Abu Amir ar-Rahib pula berusaha mempengaruhi orang-orang munafik. Ibnu Kathir menyebutkan bahawa Abu Amir ar-Rahib mengarahkan orang munafik membina kubu-kubu pertahanan, dan dia akan membawa tentera Rom bersama senjata untuk memerangi Islam dan menghalau umat Islam dari Madinah. Hal ini terjadi sepanjang tahun 9H.

Allah Melarang Nabi SAW di Masjid Dhirar, Lalu Ia Dibakar

Ketika Nabi SAW dalam perjalanan pulang dari Tabuk, beberapa hari sebelum tiba di Madinah, Allah SWT telah menurunkan ayat 107-110 Surah ar-Taubah yang mendedahkan pergerakan jahat orang munafik di Masjid Dhirar. Ketika Nabi SAW singgah di Dzu Awan, Baginda SAW berhasrat untuk singgah di masjid munafik tersebut untuk bersolat di sana, lalu Allah SWT melarangnya dan mendedahkan rancangan jahat mereka terhadap Islam. Maka tahulah umat Islam tentang kedudukan sebenar masjid yang selama ini didakwa dibina untuk memudahkan orang-orang tua, orang lemah dan orang sakit bersolat, walhal sebenarnya mereka merancang untul menyaingi Masjid Quba.

Dengan larangan Allah SWT tersebut, maka Rasulullah SAW tidak ragu-ragu lagi bahawa masjid tersebut adalah pusat gerakan menentang Islam. Lalu Baginda SAW memerintahkan supaya ia dibakar segera. Nabi SAW telah mengutuskan Malik bin Dukhsyum, Ma’an bin Adi, Amir as-Sakan dan Wahsyi untuk membakar masjid tersebut. Arahan dibuat selepas Baginda tiba di Madinah pada 26 Ramadhan 9H, iaitu ketika Madinah sibuk dikunjungi oleh kabilah-kabilah Arab yang mahu memeluk Islam. Pada 29 Ramadhan 9H, Malik Dukhsyum telah membawa pelepah tamar dan api dari rumahnya, lalu membakar masjid tersebut, sehingga ia bertukar menjadi tempat pembuangan sampah. Dengan musnahnya masjid ini, maka gerakan munafik pun menjadi lemah, dan Abu Amir ar-Rahib melarikan diri dan mati di Istana Rom.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
29 Ramadhan 1439 / 14 Jun 2018