Home Berita PAS Terengganu

Pemain Ragbi Muslim Tutup Aurat di National 7s 2025

5
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kesatuan Ragbi Malaysia menerusi laman Facebook rasminya, Malaysia Rugby mengeluarkan kenyataan arahan bahawa semua pemain lelaki dan wanita yang beragama Islam yang bakal beraksi di  Kejuaraan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan (National 7s 2025) pada 25 hingga 27 Julai ini, diwajibkan untuk memakai seluar ketat (legging) atau (tight) panjang ketika beraksi.

Menurut Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia, Amir Amri Mohamad, tindakan itu diputuskan sebagai usaha pihak penganjur menggalakkan pematuhan syariah selaras dengan nilai dan budaya setempat.

“Perkara pertama, menutup aurat adalah wajib bagi individu Muslim. Jadi, kami (penganjur) memutuskan untuk menambah peraturan ini dalam garis panduan ditetapkan Kesatuan Ragbi Malaysia.

“Peraturan ini juga akan turut diguna pakai di mana-mana kejohanan anjuran Kesatuan Ragbi Malaysia dan juga sebarang kejohanan yang melibatkan kesatuan ini,” katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu, hari ini.

Tambahnya, garis panduan pemakaian itu akan diguna pakai bermula dalam kejuaraan yang bakal berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kuala Nerus pada hujung minggu ini.

Dalam pada itu, tindakan penganjur mendapat sambutan baik di kalangan penggemar sukan ragbi tempatan yang tampil memberikan komentar terhadap keputusan tersebut.

Antaranya, pengguna Facebook Cikgu Sfadzli memuji tindakan penganjur yang meletakkan syarat mesra dan patuh syariah ketika beraksi.

Pengguna akaun Facebook Shahrih Shah pula berharap agar keputusan itu dipermudahkan dengan cadangan dan sokongan pihak-pihak lain. Manakala, Facebook Mukti Al Jarumi turut berharap keputusan itu dicontohi badan-badan sukan lain di Malaysia.