Home Rencana PAS Johor

Pelupusan hutang peneroka : Wanita PN Johor rakam terima kasih

72
SHARE

PELUPUSAN HUTANG FELDA 8.3 BILLION: WANITA PN JOHOR RAKAM UCAPAN TAHNIAH

1. Wanita Perikatan Negeri Johor merakamkan ucapan tahniah dan menyambut baik langkah serta keputusan kerajaan Malaysia yang telah bersetuju untuk melupuskan dan menghapuskan sebahagian hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) berjumlah RM8.3 bilion baru -baru ini.

2. Wanita PN Johor berpendapat langkah ini membuktikan keprihatinan kerajaan yang menghargai pengorbanan warga peneroka FELDA di seluruh Malaysia dalam memacu halatuju sektor komoditi perladangan khususnya berkaitan dengan perusahaan industri keluaran hasil sawit di negara Malaysia yang tercinta.

3. Penghapusan dan pelupusan hutang peneroka ini sekaligus membuktikan bahawa kerajaan PN pada hari ini bukanlah hanya pandai menabur janji sebagaimana janji palsu manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang pernah berjanji untuk membatalkan kesemua hutang peneroka dalam tempoh 100 hari, namun janji tersebut tidak ditepati.

4. Pada akhir tahun lalu, kerajaan telah mengorak langkah bagi memastikan hutang peneroka dapat dilupuskan dengan memperuntukkan RM400 juta untuk menghapuskan faedah hutang kebun peneroka FELDA.

Pengumuman dan tindakan itu telah dinyatakan oleh Menteri Kewangan Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai salah satu langkah untuk membantu golongan peneroka dalam pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat sebelum ini.

5. Terkini, langkah terbaharu kerajaan seperti yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berdasarkan teks ucapan dalam Majlis Sambutan Hari Peneroka FELDA 2021, beliau menyatakan bahawa penghapusan hutang dan pelupusan pinjaman yang bakal dilaksanakan melalui inisiatif pelarasan pinjaman secara bersyarat akan dapat mengurangkan bebanan pinjaman setiap peneroka secara purata sebanyak 80 peratus adalah satu berita yang memberi suatu sinar baharu buat peneroka FELDA.

6. Felda melupuskan hutang peneroka sebanyak RM8.3 bilion dengan penjadualan seperti berikut:

i) Pelarasan baki pinjaman tanam semula : RM8 bilion

ii) Pelarasan baki tunggakan pinjaman baja : RM168 juta

iii) Pelarasan baki pinjaman pembangunan asal : RM56 juta

7. Dengan pelupusan sebahagian hutang peneroka ini, purata bayaran balik pinjaman dijangka berkurangan daripada sekitar RM800 ke RM1,000 kepada hanya RM250 ke RM300 sebulan bagi peneroka sawit dan serendah RM150 bagi peneroka FELDA.

8. Wanita PN Johor berharap pelupusan hutang berjumlah 8.3 billion ini dapat meningkatkan taraf sosio-ekonomi dan kehidupan peneroka FELDA khususnya pekebun sawit di Malaysia.

9. Terkini, peningkatan harga minyak sawit mentah (MSM) berada pada tahap tertinggi pada tahun ini di pasaran dunia sudah pasti dapat memberikan sinar baharu dan respon positif daripada pekebun serta peneroka sawit di seluruh Malaysia.

10. Wanita PN Johor berharap pemberian kerajaan dengan pelupusan hutang ini akan dapat meringankan beban yang ditanggung selama ini dan dapat dimanfaatkan oleh semua peneroka FELDA untuk lebih gigih berusaha memperbaiki taraf kehidupan, terutama bagi peneroka dikalangan kaum wanita yang telah ketiadaan suami akibat meninggal dunia disaat mereka semakin lanjut usia.

Tambahan pula anak-anak peneroka FELDA telah menjalani kehidupan masing-masing serta berhijrah ke bandar.

Sekian, terima kasih.

NORMALA SUDIRMAN

Ketua Penerangan Wanita Perikatan Negeri Johor

AJK Pertubuhan Kebajikan Warisan Feldawati Malaysia ( FELDAWATI MALAYSIA)