DUNGUN – Peserta Tour Gateh D’Tranung 2023 (TGDT23) memuji penganjuran program berbasikal tersebut sebagai yang terbaik dan berprestij.
Pelumba TSS Racing, Muhammad Nur Aiman Rosli berkata, laluan sepanjang pertandingan juga amat baik dan sesuai untuk laluan berbasikal.
Katanya, dalam satu Malaysia, hanya di Terengganu sahaja yang dapat dia merasai pengalaman luar biasa ini dengan suasana yang cantik sepanjang laluan.
“Saya sentiasa sokong penganjuran ini jika diadakan lagi untuk setiap tahun.
“Program ini secara tidak langsung dapat meningkatkan motivasi dan semangat para pelumba berbasikal di seluruh Malaysia,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Penamat Kejohanan Tour Gateh D’Tranung Peringkat 2 di Pejabat Daerah dan Tanah Dungun di sini semalam.
Aiman Rosli merupakan pelumba daripada TSS Racing yang telah memenangi jersi hijau (raja pecut) pada saingan kedua.
Peringkat kedua TGDT23 bermula daripada bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus ke Pejabat Daerah Dungun yang melibatkan laluan sepanjang 157.3 km.
Terdahulu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan peruntukan sebanyak RM600 ribu disediakan untuk meneruskan program berprestij dalam perlumbaan berbasikal jelajah Terengganu iaitu Tour Gateh D’Tranung.