Home Berita PAS Terengganu

Pelita Raya Terengganu Bawa Pulangan Pelaburan Lebih RM400,000

17
SHARE

KUALA TERENGGANU – Penganjuran program Pelita Raya Terengganu pada bulan Ramadan yang lalu berpotensi membawa pulangan pelaburan sebanyak RM400,000.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata pencapaian sedemikian merupakan satu pencapaian yang mampu memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat setempat.

“Lebih membanggakan, penganjuran program Pelita Raya Terengganu selama empat hari ini telah mencatatkan jangkaan ‘Return on Investment’ (ROI) melebihi RM400,000.

“Ia merangkumi aspek seperti penginapan, gerai makanan, pengangkutan dan lain-lain.

“Ini jelas menunjukkan impak limpahan ekonomi yang ketara kepada rakyat, khususnya usahawan-usahawan tempatan yang mengambil bahagian dalam program ini,” katanya.

Menurut beliau, berdasarkan catatan rujukan pulangan pelaburan daripada program yang telah termaktub sebagai acara tahunan ‘Calender of Event’ (COE) Terengganu itu, terdapat tiga penyumbang utama kepada pulangan tersebut.

“Pertama, kutipan tiket masuk dengan harga yang telah ditetapkan pada RM2.00 bagi individu berumur 13 tahun dan ke atas, berjaya mencecah RM52,361.00.

“Manakala hasil jualan di lokasi program pula sebanyak RM102,540.30. Selain itu, perbelanjaan lain yang melibatkan penginapan, pengangkutan dan sebagainya dianggarkan melebihi RM250,000.00.

Razali berkata demikian di dalam ucapannya ketika sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, menegaskan bahawa kejayaan yang telah dicapai melalui pelaksanaan program-program seperti ini tidak dijalankan secara bersendirian.

“Ia adalah hasil kolaborasi erat antara beberapa jawatankuasa utama yang merupakan rakan strategik utama kepada Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam pelaksanaan setiap program yang diadakan.

“Insya-Allah, kejayaan ini akan menjadi pemangkin untuk kita mengembangkan pendekatan serupa dalam pelaksanaan program utama pelancongan negeri atau ‘signature events’ seperti Program Candat Sotong dan Karnival Pantai Terengganu, agar terus relevan dan menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara,” ujarnya.