Nadi Selangor by Roslan SMS | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
Oleh : Tuan Hj Roslan Shahir Dato Mohd Shahir
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor
PAS hari ini merupakan sebahagian dari kerajaan Persekutuan. PAS juga menerajui kerajaan negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah selain juga diwakili di Perak dan bersama kerajaan negeri di Pahang, Perlis, Johor, Sabah dan Melaka.
Keberdaan PAS di dalam kerajaan Persekutuan hari ini adalah lantaran langkah strategik serta kerjasama dan persefahaman politik yang dijalinnya dengan parti-parti lain yang membentuk kerajaan. Hari ini PAS bersama Bersatu, Umno, GPS dan lain-lain parti Borneo membentuk kerajaan Persekutuan.
Ini bukan pertama kali PAS menjalin hubungan politik dengan parti-parti lain malah ia telah berlaku seawal Pilihan Raya Umum pertama lagi dan berterusan dalam pelbagai bentuk sehingga ke hari ini.
Tindakan PAS ini sesungguhnnya selari dengan usaha PAS yang digariskan dalam Perlembagaannya Fasal 6 (3) iaitu “memupuk dan memperkuatkan ukhuwah Islamiyah dan menyuburkan rasa perpaduan dikalangan rakyat bagi memelihara kehidupan politik dan masyarakat yang sihat dan berkebajikan.
Ini membuktikan keterbukaan PAS dalam mendakapi realiti politik dalam negara sekaligus menafikan dakwaan kononnya PAS sebuah parti ektrimis dan eksklusif.
Bagi parti-parti yang bersetuju menjalin dan membina hubungan politik dengan PAS sejak dari dahulu sehinggalah kini sudah pasti mereka sedar dan faham akan dasar dan perjuangan PAS. PAS selama ini mampu mengaut sokongan sebahagian besar rakyat dari pilhanraya ke pilihanraya lantaran kekal istiqamah atas dasar dan prinsip perjuangannya.
Tiada rakyat Malaysia yang tidak tahu akan perjuangan PAS yang dinyatakan secara terbuka dalam Fasal 5 (1) Perlembagaannya iaitu tujuan PAS ialah: “Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukum menuju keredhaan Allah.”
PAS pernah berkerjasama dengan DAP semasa dalam Pakatan Rakyat dahulu, dan DAP walaupun tahu akan dasar dan prinsip perjuangan PAS namun tetap mahu berkerjasama dengan PAS sehinggalah mereka sedar PAS enggan dan tidak bersedia tunduk untuk dicucuk hidungnya, lantas mereka memutuskan hubungan dengan PAS menjelang PRU ke 14.
PAS pun berkerjasama dengan DAP ketika itu kerana berpandangan dengan penglibatan kedua-dua parti PAS dapat peluang berhubung dengan masyarakat bukan Melayu selain melunakkan DAP untuk memahami perjuangan PAS. Ternyata DAP bukanlah kawan yang baik buat PAS dan akhirnya hubungan yang dijalin runtuh apabila DAP melanggar tahaluf siyasi yang dibentuk.
Sudah pastilah apabila berpeluang duduk ditampuk kuasa PAS akan menggunakan peluang yang diberikan sebaik mungkin untuk menerapkan dasar perjuangannya sebagaimana DAP pernah bersungguh-sungguh mahu melebarkan gagasan “Malaysian Malaysia” mereka sepanjang 22 bulan mendominasi kuasa melalui kerajaan Pakatan Harapan dahulu.
Tetapi PAS tidaklah ekstrim dalam pendekatannya sebagaimana didakwa musuh-musuhnya. Melalui budaya politik matang dan sejahtera PAS berusaha memberikan pemahaman dan melibatkan semua pihak dalam menghargai dan akur pada keperluan tuntutan perjuangan PAS sebagai formula penyelesaian terbaik buat rakyat dan negara.
Demikianlah keadaannya dan rakyat dapat melihat dan menilai sepanjang PAS berkuasa di Kelantan dan kini di Terengganu dan Kedah. Segala program dan dasar yang dilaksanakan diberikan penerangan yang baik sehingga mendapat sokongan dan dokongan dari rakyat.
Di Kelantan dan Terengganu yang merupakan negeri majoriti umat Melayu Islam, kerajaan negeri melalui PBT tidak meluluskan lesen premis aktiviti perjudian kerana ia haram dan bertentangan dengan Islam yang dianuti sebahagian besar rakyatnya.
Kini dengan penglibatan PAS dalam kerajaan Persekutuan, PAS juga berhasrat memenuhi cita-cita perjuangannya setakat mana yang mampu dan diizinkan mengambil kira kekuatan dan perwakilan PAS dalam kerajaan. PAS sedar ia tidak mendominasi kerajaan Persekutuan dengan 18 kerusi Parlimen, namun kehadiran PAS adalah sebagai kuasa penentu buat kerajaan ini.
Kerana itu PAS bertanggungjawab memelihara kepentingan Islam khususnya dan memastikan keadilan dan kesaksamaan sentiasa diberikan kepada rakyat jelata dalam apa sahaja program dan dasar kerajaan.
PAS diyakini akan terus memberikan sokongan padu pada kerajaan “Keluarga Malaysia” pimpinan Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakub untuk terus kekal dan relevan sehinggalah selepas PRU ke 15 nanti. PAS tidak pernah mengkhianati rakan politikkya dan untuk itu rakan-rakan PAS dalam kerajaan hari ini tidak perlu bimbang.
Cumanya beberapa isu yang dekat di hati PAS dan ahli-ahli serta pendukungnya perlulah dihormati oleh rakan-rakan politik PAS hari ini. Jangan sampai ahli dan pendukung mempertikaikan kehadiran PAS dalam kerajaan, sesuatu yang sangat kita bimbangkan dan perlu elak.
Satu contoh yang bangkit baru-baru ini adalah isu “Special Draw” Operator Nombor Ramalan atau NFO yakni syarikat-syarikat judi yang dilesenkan kerajaan. Menteri Kewangan telah mengumumkan di Parlimen abru-baru ini bahawa beliau telah meluluskan kekerapan “Special Draw” ini dari 8 kali setahun semasa pemerintahan PH dulu ke 22 kali setahun.
Keputusan ini cukup memeranjatkan dan telah digunakan oleh musuh-musuh politik PAS untuk menyerang kerajaan dan PAS sendiri. Jelas cukup tidak munasabah dan masuk akal bagaimana kerajaan yang didudkung parti Islam boleh meluluskan 22 kali “Special Draw” setahun sedangkan semasa PH dahulu ianya dikurangkan.
PAS sedar kedudukannya dan bukan pun minta judi diharamkan, mungkin belum lagi, tetapi dengan kehadiran PAS dalam kerajaan sebarang langkah untuk memaju dan memperteguhkan lagi sebarang industri maksiat yang bertentangan dengan Islam perlulah turut diberi perhatian kerajaan dan tidak dilulus atau digalakkan sewenang-wenangnya.
Kita yakin PM dan kerajaan akan mendengar suara PAS yang merupakan rakan yang taat dan tidak pernah membangkitkan sebarang masalah buat beliau dan kerajaan selama ini.
Jagalah hati dan perasaan umat Islam yang cukup dijaga oleh PAS selain kebajikan rakyat jelata keseluruhannya. Hanyut dan beredar jauh dari nilai dan semangat Islam hanya akan mengakibatkan hanyut jugalah minat dan kesetiaan ahli-ahli dan pendukung PAS terhadap relevannya kerajaan ini.
Semoga Islam kekal terpelihara di bawah kerajaan “Keluarga Malaysia” ini dan kestabilan politik serta kesejahteraan rakyat dapat dikecapi.
30 September 2021 | 23 Safar 1443H
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor