Home Artikel PAS Perlis

Pelihara Ketaatan dan Prinsip Perjuangan

545
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR : Seluruh ahli dan kepimpinan Pemuda PAS di semua peringkat diingatkan agar tetap berpegang kepada prinsip Islam pada setiap masa, demikian kata Ketua Pemuda PAS Perlis, Ustaz Muhammad Azmir Azizan.

Menurutnya, kemenangan yang dicapai tidak boleh dijadikan alasan untuk melonggarkan prinsip, sebaliknya prinsip berkenaan wajib dipertahankan demi memastikan matlamat perjuangan tidak terpesong malah sentiasa terpelihara.

Golongan yang teguh memelihara prinsip ujarnya, bukan sahaja tidak berganjak dari jalan kebenaran, bahkan juga mendapat jaminan pertolongan daripada Allah S.W.T.

“Mereka yang tetap tidak berganjak dan berpegang teguh dengan prinsip Islam, maka Allah akan turunkan bantuan tenteraNya (Malaikat) untuk membantu mereka.

“Buktinya dapat kita lihat dalam Perang Badar, bilangan kaum Muslimin jauh lebih sedikit, namun Allah hantar bantuan hingga kaum Muslimin mencapai kemenangan,” jelasnya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Dewan Pemuda PAS Kawasan Kangar Kali Ke-45, di Putra Putri Lodge, dekat sini semalam.

Selain itu, ahli PAS juga katanya mestilah sentiasa memberikan sepenuh ketaatan dan wala’ kepada kepimpinan parti dalam apa jua situasi yang berlaku.

Turut diingatkan, slogan Islam Memimpin yang menurutnya bukan sekadar kata-kata yang diungkap oleh Presiden PAS dalam muktamar, sebaliknya perlu dihayati dan diterjemahkan dalam bentuk tindakan oleh seluruh anggota pemuda PAS.

“Saya menyeru kepada seluruh ahli pemuda, ikutilah slogan Tuan Guru Presiden PAS iaitu ‘Islam Memimpin’ dengan cara memacu gerak kerja Dewan Pemuda PAS berpandukan Islam,” ujarnya.