Home Berita PAS Terengganu

Pelarasan Tarif Air SPAN : Terengganu teliti tindakan tidak bebankan rakyat

10
SHARE

KUALA TERENGGANU – Cadangan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk menyelaras semula tarif air akan dibincang dengan lebih lanjut bersama operator bagi memastikan pelaksanaan itu tidak membebankan rakyat.

Pelarasan tarif air membolehkan syarikat utiliti melaksanakan operasi serta perbelanjaan modal (Capex), termasuk penggantian paip lama dan kerja-kerja penaiktarafan infrastruktur air.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak operator lain bagi tindakan seterusnya.

“Setakat ini kita boleh katakan begitu dahulu, dan kita akan keluarkan kenyataan rasmi pada masa yang sesuai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Madani Rakyat Terengganu di Pasar Payang di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian  bagi mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh SPAN berhubung permohonan pelarasan tarif air yang dipohon 10 negeri termasuk Terengganu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Hanafiah Mat berkata cadangan pelarasan perkhidmatan bekalan air oleh SATU kepada SPAN disokong oleh Kerajaan Negeri untuk mendapat pertimbangan dan kelulusan dari Jemaah Menteri bagi  menjamin kelangsungan industri air dalam jangka panjang.

Namun, katanya pelarasan itu akan dipastikan agar tidak membebankan rakyat.

“Pihak kerajaan negeri komited memastikan pelarasan tarif air ini tidak akan membebankan rakyat.

“Justeru itu, kami berharap agar permohonan berkenaan mendapat
pertimbangan sewajarnya,” ujarnya lagi.

SPAN juga telah mengesahkan telah menerima permohonan daripada sembilan lagi operator perkhidmatan bekalan air iaitu Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang.

Kesemua permohonan berkenaan masih diperingkat penelitian dan belum dimuktamadkan.