Home Berita PAS Terengganu

Pelancongan di Tasik Kenyir dibuka sepenuhnya bermula 1 September

239
SHARE

HULU TERENGGANU, 12 Ogos – Sektor pelancongan di Tasik Kenyir akan mula dibuka kepada kunjungan orang ramai bermula 1 September ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Dato’ Razali Idris berkata pembukaan tersebut memberi peluang kepada sektor pelancongan dalam negeri kembali ‘bernyawa’.

“Kita buat keputusan ini setelah 300 penggiat pelancongan di Tasik Kenyir telah lengkap suntikan dua dos pada hari ini.

“Mengambil kira tempoh matang suntikan iaitu 14 hari, kita juga akan menjalankan proses sanitasi kepada semua rumah bot sebelum beroperasi pada 1 September dan sanitasi ini akan berterusan setiap kali penggunaannya,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Outreach Vaksinasi Pelancongan Tasik Kenyir di Pengkalan Gawi , hari ini.

Seramai 300 individu yang terbabit dalam industri pelancongan di Tasik Kenyir, di sini, termasuk 200 penduduk sekitar menerima suntikan vaksin Covid-19 dos kedua, hari ini.

Katanya lagi, pembukaan sektor itu juga berdasarkan prosedur operasi standard (SOP), amalan penjarakkan sosial dan penjagaan kebersihan yang optimum di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Fasa Dua di Terengganu.

Dalam pada itu, pihaknya juga dalam perancangan untuk memberikan diskaun untuk setiap tempahan rumah bot sebagai salah satu tarikan kepada pelancong.

“Dalam masa terdekat, kita akan umumkan harga dan jumlah diskaun yang diberikan kepada mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan rumah bot.

“Ia merupakan salah satu inisiatif kepada pengusaha itu sendiri selain membantu pengurangan kos melancong di musim wabak ini,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, Kamaruddin Razali, pembukaan sektor ini memberi sinar baharu buat pengusaha pelancongan untuk kembali beroperasi.

Katanya, pemberian vaksin lengkap meningkatkan keyakinan mereka semua untuk berdepan dengan pelancong dan berharap kemasukan pelancong kembali rancak.

Tambah beliau, pemilik rumah bot telah mula menerima tempahan selepas Perdana Menteri mengumumkan pembukaan sektor pelancongan bermula 10 Ogos baru-baru ini.

“Saya berharap pelancong dapat mematuhi SOP dan dinasihatkan sentiasa mengamalkan normal baharu, penjarakkan sosial dan penjagaan kebersihan yang optimum bagi kebaikan bersama,” katanya.