“Pelancong Malaysia tidak tahu keadaan di Masjid al-Aqsa” – Dr.Nawwaf Takruri
Oleh: Imran al-Malizi
Pada 10 Ogos 2017, Dewan Ulamak PAS Pusat telah menerima kunjungan seramai 7 orang perwakilan daripada Pertubuhan Ulamak Palestin di Pejabat Agung Parti Islam SeMalaysia di Kuala Lumpur. Pertemuan itu disambut oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Ustaz Dato’ Dr. Haji Mahfodz bin Mohamed, Timbalan Ketua, Dato’ Dr. Haji Nik Muhammad Zawawi bin Salleh, Bendahari, YB Ustaz Dato’ Dr. Haji Mohd Khairuddin bin Aman Razali dan Pengerusi Lajnah Antarabangsa DUPP, Ustaz Haji Mohd Ismi bin Md Taib, Timbalan Pengerusi, Ustaz Imran bin Selamat dan AJK-AJK Lajnah yang lain.
Ustaz Dato’ Dr. Nik Muhammad Zawawi dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran para tetamu telah merakamkan rasa dukacita terhadap insiden terbaru yang berlaku di Baitul Maqdis baru-baru ini. Beliau turut menyentuh kelemahan para pemimpin negara-negara Arab dan Islam menjadi punca ketegangan yang berlaku di Timur Tengah ketika ini.
Pengerusi Pertubuhan Ulama Palestin, Dr. Nawwaf Takruri menyatakan bahawa para ulama dan kaum Muslimin di Malaysia sangat mengambil berat isu Palestin dan ini menggambarkan perpaduan umat Islam di negara ini walau pun terdapat perbezaan pendapat dalam bidang politik dan sosial.
Tanpa berselindung beliau menyatakan bahawa PAS sebagai parti Islam yang mashyur di seluruh dunia Islam telah memainkan peranan yang cukup besar bagi membantu perjuangan rakyat Palestin. Menurutnya lagi, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa hanya PAS yang sedari awal mengiktiraf Hamas secara terbuka dan menyokong kebangkitan rakyat Palestin.
Tujuan kedatangan perwakilan Pertubuhan Ulama Palestin itu adalah untuk membina jaringan di kalangan para ulama di Malaysia dan menjejaki rakyat Palestin yang sedang mengikuti pengajian agama Islam di negara ini. Antara misi dan visi pertubuhan yang diasaskan pada 2009 itu ialah menyatukan tenaga para ilmuwan Islam di dalam dan luar Palestin untuk berperanan dalam perjuangan membebaskan bumi suci itu.
Dalam kesempatan itu, Dato’ Dr.Mahfodz turut bertanya mengenai perkembangan terkini di Masjid al-Aqsa yang ditutup oleh penjajah Zionis baru-baru ini. Ini kerana terdapat video yang ditularkan dari seorang rakyat Malaysia, kononnya di sana keadaan aman dan tiada kekacauan seperti yang digembar gemburkan.
Dr.Nawwaf menjelaskan bahawa larangan azan dan penutupan Masjid al-Aqsa itu telah berakhir kira-kira dua minggu lalu apabila penduduk al-Quds bangkit menentang pihak keselamatan Israel dan berjaya memasukinya untuk menunaikan solat. Ini tiada kena mengena dengan dakwaan kononnya seorang raja dari negara Arab yang menelefon pemimpin negara kuasa besar agar tekanan itu dihentikan.
“Ini bukan semudah satu panggilan telefon,” ujarnya.
Kemungkinan semasa pelancong rakyat Malaysia itu merakamkan video di dataran Masjid al-Aqsa itu setelah berakhirnya suasana tegang itu. Mereka yang tidak tinggal di Palestin (Gaza atau Tebing Barat) tidak akan mengetahui realiti kekejaman dan penindasan yang berlaku di Masjid al-Aqsa.
Menurutnya, ketegangan dan serangan berlaku silih berganti dari masa ke semasa. Pada waktu-waktu tertentu pihak keselamatan Israel yang berkawal akan membenarkan pelancong-pelancong luar memasukinya dan mereka akan diberikan layanan yang baik. Ini bertujuan agar mereka akan menghebahkan kepada dunia bahawa negara penjajah itu bukanlah seburuk yang disangkakan.
Pengarah Hubungan Luar, Ziyad Abu Zaid pula mencelah, “Pelancong Malaysia itu tidak mengetahui kira-kira 650 orang telah ditangkap semasa bantahan atas penutupan Masjid al-Aqsa baru-baru ini, itu belum termasuk beribu-ribu lagi yang telah sedia ada dalam penjara sebelum konflik meletus.”
Manakala, salah seorang perwakilan, ‘Ahid Abu al-‘Atha pula berkata, “Inilah tanda kejayaan propaganda musuh, sehingga terdapat rakyat Malaysia yang percaya tidak ada apa-apa yang berlaku di sana.”
Menurut Dr.Nawwaf lagi, berita dan video disebarkan berkaitan kekejaman tentera Israel itu datang daripada wakil mereka yang berada di tempat kejadian.
Dalam pertemuan tersebut, Dr.Mohd Khairuddin turut menimbulkan persoalan fatwa mengenai hukum melancong ke Baitul Maqdis dan memasuki Masjid al-Aqsa yang sebelum ini menjadi pertikaian di antara ulama yang melarang dan membolehkan. Adakah perlu kepada fatwa yang baru merujuk perkembangan terkini yang berlaku.
Mengakhiri pertemuan, Dr.Nawwaf menyatakan keperluan untuk isu ini diperhalusi dan dibuat kajian semula dengan lebih terperinci berhubung maslahah dan mudarat di sebaliknya.
Pada 13 Ogos 2017, para perwakilan Pertubuhan Ulama Palestin sempat menziarahi Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan mendapatkan pandangan beliau berhubung isu-isu di rantau Asia Barat sebelum Presiden PAS dan rombongannya berangkat ke Indonesia.
{jathumbnail off}