KUALA TERENGGANU – Pelan Strategik Pertanian Terengganu (PSPT) 2024-2030 menyasarkan kejayaan lebih unggul berbanding PSPT yang lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata ia bakal dilancarkan pada hujung bulan Februari ini oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
“PSPT 2019-2023 telah menutup tirainya. Impak daripada pelaksanaan ratusan program dan projek dalam PSPT itu telah menghasilkan natijah positif dalam pembangunan sektor pertanian Negeri Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam laman rasmi miliknya hari ini
Tambah Dr. Azman, sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun 2018 sebanyak -2.5 peratus telah berjaya meningkat kepada 7.5 peratus pada 2023.
“Masih tidak banyak yang boleh dibanggakan, tetapi kita telah berjaya menukar angka negatif menjadi positif. Meneruskan kejayaan itu biasa, mengubah kegagalan menjadi kejayaan itu yang luar biasa.
“Sebagai kesinambungan kepada PSPT lepas, insya-Allah pelan 2024-2030 bakal dilancarkan oleh YAB MB Terengganu pada minggu ketiga Februari tahun ini,
“Tentu sekali kejayaan PSPT 2019-2023 sedang diteruskan lagi pada skala yang lebih besar dalam PSPT 2024-2030, dalam masa yang sama kelemahan dan kekurangan akan diperbaiki. Bila kita gagal merancang kita sebenarnya merancang untuk gagal,” tambahnya.