Home Berita PAS Terengganu

Pelaksanaan Hukuman Takzir di Khalayak Ramai Keputusan Hakim

77
SHARE

KUALA TERENGGANU – Tindakan pelaksanaan hukuman ke atas pesalah jenayah takzir tertakluk sepenuhnya di bawah bidang kuasa Hakim Syarie

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Dakwah dan Pelaksanaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, hukuman boleh dilaksanakan sama ada di dalam penjara atau di kawasan terbuka, bergantung kepada keperluan dan objektif hukuman itu sendiri.

“Jadi di sini kita fikir ada keperluan untuk kita melaksanakan di khalayak ramai, untuk menggerunkan mereka yang melakukan kesalahan tertentu .

“Jika pesalah telah melakukan kesalahan lebih daripada dua kali, dan hukuman dalam penjara tidak memberi kesan, maka ada keperluan untuk melaksanakan hukuman tersebut di khalayak ramai,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab solan daripada ADUN Kuala Besut, Azbi Salleh, pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, baru-baru ini.

Tambahnya lagi, pelaksanaan di tempat awam, seperti di pasar atau pekarangan masjid, memerlukan kerjasama erat dengan agensi berkaitan dan sekiranya dilakukan di pasar, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu dilibatkan.

Manakala, jika di kawasan masjid, tindakan susulan dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) akan diperlukan.

“Hukuman ini berlandaskan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir 2001, yang kini merangkumi 24 kesalahan utama.

“Antara kesalahan yang termasuk dalam enakmen tersebut ialah Pemujaan Salah (Seksyen 3), Penyebaran Doktrin Palsu (Seksyen 4) dan Mengembangkan Doktrin Agama Menyesatkan,” tambah Khalil.