Oleh : HABSAH ALI
KUANTAN, 24 Julai 2025 – Seorang pelajar Universiti Kolej Islam Antarabangsa (UCSI) dalam jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Wan Nur Adila Batrishah Wan Mohamad (18) dilaporkan hilang sejak 17 Julai 2025 dan masih belum ditemui sehingga kini.
Beliau disedari hilang dari rumah keluarganya di Sungai Ular sekitar jam 6.00 petang selepas kali terakhir dilihat kira-kira jam 3.00 petang pada hari yang sama.
Menurut keluarganya, Wan Nur Adila keluar hanya dengan membawa telefon bimbit dan dompet, tanpa membawa pakaian, kasut mahupun beg pakaian. Laporan polis telah dibuat dan siasatan masih dijalankan.
Ketika dikunjugi oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota, Salwani Saleh, ibu mangsa Normah Husin kelihatan sugul dan menyambut kedatangan mereka dengan linangan air mata.
Normah Husin melahirkan rasa kebimbangan dan kesedihan yang mendalam terhadap kehilangan anak keduanya itu.
Menurut ibu dan kakaknya, Wan Nur Adila ada menghubungi mereka semasa di kolej dan menyatakan hasrat untuk berhenti belajar. Namun selepas pulang ke rumah, beliau tidak banyak bercakap dan enggan berkongsi sebarang masalah meskipun telah beberapa kali ditanya.
“Dia bukan jenis keluar rumah, lebih banyak duduk di rumah dan tak ramai kawan, bila balik dari kolej, dia senyap dan banyak mengurung diri di dalam bilik,” kata Normah dalam nada sebak.
“Kami hanya mahu dia pulang dengan selamat, kami sangat rindukan dia,” katanya dalam keadaan penuh pilu.
Sementara itu Salwani Saleh telah memberi nasihat dan kata-kata motivasi kepada Norma Husin yang tidak lena tidur dan langsung tidak menjamah makanan sejak kehilangan anaknya.
Tambah Salwani, kesihatan Normah Husin sangat penting demi menjaga tiga orang lagi anaknya terutama yang masih bersekolah.
Pihak keluarga merayu kepada sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai Wan Nur Adila agar dapat menghubungi balai polis berdekatan dengan segera.