KEMAMAN – Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun ditemui lemas selepas tergelincir ke dalam sungai ketika cuba melepaskan mata kail yang tersangkut.
Ketika kejadian di Kampung Padang Kemunting, Kijal, pada Isnin empat rakannya hanya mampu melihat kerana keadaan sungai yang terlalu dalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, mangsa, Mohamad Shahrizuan Hafizi Mohamad Azli, 14, pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Kijal, disahkan meninggal dunia di Hospital Kemaman pada jam 7.37 malam semalam.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika mangsa bersama empat rakannya berusia antara 11 hingga 15 tahun keluar memancing sekitar jam 11 pagi.
“Ketika sedang memancing, mata kail milik mangsa tersangkut pada sebatang kayu di dalam sungai.
“Mangsa kemudian turun ke dalam air untuk melepaskan mata kail tersebut, namun dipercayai tergelincir dan lemas.
“Rakan-rakan mangsa yang melihat kejadian itu tidak berani terjun kerana air terlalu dalam, lalu segera meminta bantuan penduduk kampung,” katanya menurut laporan berita Sinar Harian semalam.
Tambah beliau, seorang penduduk bertindak pantas terjun ke sungai untuk menyelamatkan mangsa dan membawanya ke tebing sebelum memberikan bantuan pernafasan (CPR) sementara menunggu ketibaan pasukan penyelamat.
“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kemaman dengan bantuan pasukan penyelamat, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada malam kejadian,” katanya lagi.