KUALA TERENGGANU – Sektor pembuatan di Terengganu mencatat sejarah baharu apabila nilai pelaburan melonjak kepada RM6 bilion hanya dalam tempoh separuh pertama tahun 2025.
SME Bank Economic Research, dalam satu laporan yang dikeluarkan Mazlina Abdul Rahman, Syed Mohamad Bukhari Syed Bakeri, Uswatun Hasanah Mohd Zaini dan Muhammad Bukhari Baharrudin menyatakan nilai tersebut menjadikannya jumlah tertinggi pernah direkodkan dalam tempoh sedekad.
Menurut laporan itu, angka tersebut jauh mengatasi purata pelaburan tahunan negeri itu antara tahun 2015 hingga 2019 yang berjumlah sekitar RM1.8 bilion.
“Walaupun jumlah keseluruhan pelaburan di Terengganu lebih kecil berbanding negeri-negeri perindustrian utama lain, negeri ini mencatat purata pelaburan tertinggi per projek di Malaysia, iaitu RM1 bilion bagi setiap projek,” kata laporan itu.
Laporan tersebut menjelaskan bahawa pelaburan ini melibatkan enam projek utama sahaja, namun setiap satu merupakan projek berskala besar dan berimpak tinggi terhadap ekonomi negeri.
Antara syarikat yang terlibat dalam pelaburan baharu termasuk Appotronic Sdn. Bhd. dalam sektor Kimia dan Bahan Kimia (projek baharu) dan Eastern Steel Mineral Sdn. Bhd. bagi sektor Mineral Bukan Logam (projek baharu).
Kombinasi pelaburan dalam sektor kimia, mineral bukan logam dan pembuatan makanan ini dijangka memberi nilai tambah yang besar kepada industri negeri, memperkukuh rantaian bekalan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat Terengganu.
Peningkatan ini turut mencerminkan keyakinan pelabur terhadap dasar mesra pelaburan kerajaan negeri, serta potensi Terengganu sebagai destinasi utama bagi industri berat dan berteknologi tinggi.
Selain menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi wilayah Pantai Timur, pelaburan baharu ini dijangka menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi negeri menerusi limpahan manfaat kepada sektor sokongan seperti logistik, tenaga dan perkhidmatan teknikal.
Berdasarkan purata pelaburan per projek bagi tempoh separuh pertama 2025, Terengganu mendahului semua negeri di Malaysia dengan RM1 bilion per projek, diikuti oleh Sabah (RM0.6 bilion) dan Pahang (RM0.3 bilion).
Negeri-negeri lain seperti Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Johor pula mencatatkan purata pelaburan yang jauh lebih kecil bagi tempoh sama, menunjukkan daya tarikan unik Terengganu terhadap pelabur strategik berskala besar.
Kejayaan ini seiring dengan strategi pembangunan ekonomi negeri Terengganu yang memberi tumpuan kepada pelaburan berteknologi tinggi, lestari dan bernilai tambah tinggi, selaras dengan aspirasi Terengganu New Energy Transformation (T-NEXT) pelan transformasi tenaga baharu negeri yang menekankan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.





