Home Berita PAS Terengganu

Pelabuhan LKIM Chendering dan Pulau Kambing bakal siap sepenuhnya pada 2031

43
SHARE

KUALA TERENGGANU – Pelabuhan LKIM Chendering (PLC) akan kembali menjadi pusat pendaratan utama hasil laut Terengganu apabila projek pembangunan bernilai RM192 juta yang dijadualkan siap sepenuhnya pada 2031.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, projek tersebut bertujuan menyelesaikan isu mendapan pasir dan kekurangan infrastruktur yang menyebabkan banyak bot laut dalam terpaksa mendaratkan hasil tangkapan di luar negeri.

“Projek terdiri dari dua fasa iaitu yang pertama kerja-kerja di daratan oleh JKR dan kedua kerja-kerja dalam air oleh JPS.

“Kerja di daratan merangkumi skop menaik taraf infrastruktur pelabuhan manakala kerja-kerja dalam air merangkumi skop merobohkan jeti sedia ada.

“Pengorekan untuk mendalamkan pelabuhan serta menaiktaraf dan membina benteng pemecah ombak,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Bandar pada Mesyuarat ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri  Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurutnya, kerja fasa pertama di kawasan daratan dijadualkan siap pada Oktober 2028, manakala fasa kedua di kawasan air pada Ogos 2031.

Menurut Dr. Azman, usaha ini adalah hasil resolusi Bengkel Transformasi Perikanan Negeri Terengganu 2021, dengan sokongan Kementerian Ekonomi yang meluluskan peruntukan pada Februari 2023.

“Apabila projek ini siap, PLC dijangka mengembalikan kegemilangan sektor perikanan negeri dan memperkukuh ekonomi Terengganu,” katanya.

Tambahnya lagi, Kompleks LKIM Pulau kambing merupakan antara kompleks yang aktif dan mencatatkan rekod pendaratan tertinggi di Terengganu.

“Bukan hanya jeti pendaratan, di sini juga ada Pasar Nelayan, Pusat Pembekalan Air Batu, Pusat Jualan Minyak Diesel dan Pusat Pengistiharan Pendaratan Ikan,” katanya.

Beliau juga berkata, Kompleks Perikanan Pulau Kambing turut menerima penambahbaikan naik taraf dan peningkatan infrastruktur sebanyak RM2.188 juta pada 2022.

Selain itu, katanya, projek naik taraf dan peningkatan infra telah siap sepenuhnya pada Oktober 2024.