Home Berita PAS Terengganu

Pelabuhan Kemaman diperbesar tampung permintaan tinggi pelabur

101
SHARE

KEMAMAN – Kapasiti Pelabuhan Kemaman akan dipertingkatkan lebih empat kali ganda daripada keluasan asal bagi menampung permintaan tinggi pelabur.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, kapasiti pelabuhan kargo akan diperbesar kepada 33 juta metrik tan setahun menjelang tahun 2025.

“Buat masa ini pelabuhan ini hanya mampu menampung kira-kira tujuh juta metrik tan setahun.

“Syarikat Eastern Steel Sdn Bhd (ESSB) telah mengeksport barangan mereka sebanyak sejuta metrik tan setahun setakat ini dan akan meningkat kepada lima juta tan dengan adanya pelabuhan itu,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Cadangan Pelan Pembangunan Pelabuhan Kemaman di Dermaga Timur, Pelabuhan Kemaman semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Amzad Hashim, Ketua Setiausaha, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Isham Ishak dan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid.

Ujar Wee Ka Siong, Pelabuhan Kemaman menerima pelabur baharu iaitu syarikat JXR Manufacturing yang akan mengambil alih kilang PERWAJA.

“Syarikat yang menghasilkan ‘steel billet’ ini dijangka mula beroperasi pada tahun 2024 dengan pengendalian sebanyak 7 juta metrik tan kargo.

Tambah Wee Ka Siong, perancangan pembangunan ini mengambil kira keperluan kemudahan pelabuhan dan tambahan dermaga.

Caption

“Keperluan Pelabuhan Kemaman akan ditambah bagi meningkatkan kapasiti pengendalian kargo dengan penambahan kemudahan-kemudahan pelabuhan seperti kren, ‘conveyer belt’ dan sistem aliran trafik dalam pelabuhan,” katanya.

Wee Ka Siong turut berkata, bagi tujuan pembesaran dermaga dan penambahan kemudahan itu, Konsortium Pelabuhan Kemaman (KPK) akan memperuntukan kos sebanyak RM500 juta.

“Bagi fasa pertama tahun ini, KPK akan membina empat buah kren membabitkan perbelanjaan RM100 juta, manakala fasa selanjutnya akan digunakan untuk membina dermaga sepanjang 650 meter yang akan dimulakan pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata, dengan adanya tambahan itu, ia bukan sahaja menjadi pemangkin kepada negeri Terengganu malah mampu menyediakan banyak peluang pekerjaan dan menjana ekonomi setempat.

“Kementerian berharap pelan pembangunan jangka panjang pelabuhan yang akan membabitkan modenisasi dan pembesaran pelabuhan dan kemudahan-kemudahan baru termasuk peralatan pelabuhan mampu meningkatkan kapasiti bagi menampung keperluan pengguna pelabuhan semasa dan akan datang dapat direalisasikan dalam masa terdekat ini.

“Kementerian juga yakin pelabuhan Kemaman yang diterajui Lembaga Pelabuhan Kemaman dan KPK dapat dilaksanakan dan bakal memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia dengan menjadi pemangkin ekonomi bagi Kemaman, sekali gus melengkapi kawasan lain sekitarnya yang sedang rancak membangun,” katanya.