Home Berita PAS Terengganu

Pegawai Syariah Malaysia sokong Terengganu sebat pesalah khalwat di masjid

11
SHARE

KUALA TERENGGANU- Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) menyokong usaha memperkasa kewibawaan Mahkamah Syariah di negara ini.

Presidennya, Abu Suffian Abu Yaziz berkata, PPSM percaya bahawa pengukuhan institusi kehakiman Syariah merupakan asas penting dalam memastikan sistem perundangan Islam terus relevan, dihormati, dan dilaksanakan dengan penuh integriti.

“Usaha ini merangkumi penambahbaikan institusi, pemerkasaan undang-undang, serta pelaksanaan penghakiman yang berlandaskan kehendak undang-undang dan hukum syarak.

“Sehubungan dengan itu, PPSM amat menghormati keputusan Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Terengganu yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada 11 November lalu berhubung hukuman sebatan di khalayak umum, iaitu di masjid terhadap pesalah tegar jenayah khalwat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya melihat keputusan tersebut sebagai cerminan ketegasan dan keadilan Mahkamah Syariah dalam menegakkan undang-undang Islam serta usaha memberikan kesedaran kepada masyarakat Islam tentang keseriusan terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan syariah.

“PPSM juga menegaskan prinsip ihtiram (penghormatan) terhadap keputusan kolektif panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Syariah yang mengekalkan hukuman tersebut.

“Keputusan tersebut dibuat berdasarkan
peruntukan Seksyen 31(A) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelaksanaan Hukuman Sebatan di Luar Penjara yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan
telah diendorskan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu melalui Arahan Amalan No. 11 Tahun 2023,” ujarnya.

Jelas beliau, penyediaan SOP terbabit telah dibuat secara kolaborasi di antara Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Mahkamah Syariah Negeri, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Penjara Malaysia dengan cukup teliti, cermat dan mengambil kira hak pihak-pihak yang terlibat dengan hukuman, yang melaksanakan hukuman dan pihak yang hadir menyaksikan hukuman.

“Dalam usaha mempertahankan kedaulatan undang-undang Islam, PPSM menolak sebarang pandangan yang mempertikaikan keputusan tersebut kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang, tetapi juga boleh diklasifikasikan sebagai satu penghinaan terhadap institusi kehakiman Syariah,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya komited untuk terus mendukung dan mempertahankan pelaksanaan undang-undang Syariah yang adil dan berkesan berdasarkan akta enakmen/ordinan dan Perlembagaan Persekutuan.

“Untuk itu, PPSM menyeru semua pihak agar memahami dan menghormati peranan Mahkamah Syariah sebagai institusi perundangan dan kehakiman yang berteraskan hukum Allah dan keadilan sejagat.

“Prinsip mempertahankan Mahkamah Syariah merupakan asas utama kepada kelangsungan ke arah menterjemahkan sistem perundangan Islam yang mementingkan prinsip keadilan, kemaslahatan umum dan menolak perkara yang merosakkan ummah,” jelasnya.