Home Minda Presiden

Pedoman 3R dalam Al-Quran

206
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 58 / 2023]
PEDOMAN 3R DALAM AL-QURAN


Allah SWT berfirman menyimpulkan semua perkara:

﴿وَٱلۡعَصۡرِ١ إِنَّ ٱلۡإِنسَٰنَ لَفِي خُسۡرٍ٢ إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ٣﴾

“Demi masa! (1) Sesungguhnya, manusia itu benar-benar dalam kerugian. (2) Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta mereka pula nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran. (3)” (Surah al-‘Asr: 1-3)

Kitab suci al-Quran menetapkan tiga tujuan manusia diciptakan oleh Allah SWT; iaitu beribadat, berkhilafah dan beramanah.

Firman Allah SWT:

﴿وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ٥٦ مَآ أُرِيدُ مِنۡهُم مِّن رِّزۡقٖ وَمَآ أُرِيدُ أَن يُطۡعِمُونِ٥٧ إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلرَّزَّاقُ ذُو ٱلۡقُوَّةِ ٱلۡمَتِينُ٥٨﴾

“Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku. (56) Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun daripada mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepada-Ku. (57) Sesungguhnya, Allah Dialah Maha Pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh. (58)” (Surah al-Zariyat: 56-58)

Beribadat memperhambakan diri kepada Allah dengan melakukan syiar ibadat dan kepatuhan kepada semua perintah Allah secara menyerah diri kepada-Nya dalam segala urusan dunia yang menjadi jambatan ke akhirat dan juga urusan akhirat yang dijanjikan.

Firman Allah SWT:

﴿وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ٣٠﴾

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, ‘Sesungguhnya, Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata, ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan menyucikan-Mu?’ Tuhan berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.’” (Surah al-Baqarah: 30)

Khilafah itu mentadbir urusan dunia berpandukan petunjuk Allah, dalam urusan  manusia dan makhluk yang lain oleh seorang ketua negara yang dinamakan Khalifah, Raja, Sultan, Amir, Presiden, Perdana Menteri dan segala jenteranya.

Firman Allah SWT:

﴿إِنَّا عَرَضۡنَا ٱلۡأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱلۡجِبَالِ فَأَبَيۡنَ أَن يَحۡمِلۡنَهَا وَأَشۡفَقۡنَ مِنۡهَا وَحَمَلَهَا ٱلۡإِنسَٰنُۖ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومٗا جَهُولٗا٧٢﴾

“Sesungguhnya, Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang, tetapi semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan amanah itu hanya sanggup dipikul oleh manusia. Sesungguhnya, manusia itu amat zalim dan amat bodoh.” (Surah al-Ahzab: 72)

Amanah itu melaksanakan hukum Allah yang Maha Adil mengikut syarat dan adabnya secara tafaqquh (berdasarkan kefahaman).

Ketiga-tiga tujuan tersebut melibatkan aspek agama, ketua negara serta rakyat berbagai-bagai kaum dan bangsa.

Al-Quran menegaskan berkenaan tugas para rasul bersama sahabat mereka pada setiap zaman, sehinggalah Rasul akhir zaman iaitu Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya. Bahkan, ia juga wajib diteruskan oleh umatnya yang setia dengan membawa urusan agama menyelamatkan bangsanya dahulu dan manusia yang lain, serta menasihati raja-raja pada zaman masing-masing bagi melaksanakan kewajipan manusia itu diciptakan.

Firman Allah SWT:

﴿وَلَقَدۡ بَعَثۡنَا فِي كُلِّ أُمَّةٖ رَّسُولًا أَنِ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ وَٱجۡتَنِبُواْ ٱلطَّـٰغُوتَ ۖ فَمِنۡهُم مَّنۡ هَدَى ٱللَّهُ وَمِنۡهُم مَّنۡ حَقَّتۡ عَلَيۡهِ ٱلضَّلَٰلَةُۚ فَسِيرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَٱنظُرُواْ كَيۡفَ كَانَ عَٰقِبَةُ ٱلۡمُكَذِّبِينَ٣٦﴾

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan), ‘Sembahlah Allah (sahaja), dan jauhilah taghut itu.’ Maka, dalam kalangan umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka, berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (para rasul).” (Surah al-Nahl: 36)

Mengajak manusia beribadat kepada Allah SWT sahaja merupakan tonggak bagi semua urusan, serta mentadbir urusan dunia dengan berpandukan agama-Nya. Termasuklah juga menentang pelampau yang bertindak zalim terhadap rakyat oleh kalangan pemerintah pada zaman masing-masing.

Nabi Nuh AS berdakwah menyelamatkan kaumnya daripada kesesatan dan kezaliman golongan al-mala’ (para pemimpin dan pembesar) yang sesat dan zalim. Perkara ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:

﴿لَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا نُوحًا إِلَىٰ قَوۡمِهِۦ فَقَالَ يَٰقَوۡمِ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنۡ إِلَٰهٍ غَيۡرُهُۥٓ إِنِّيٓ أَخَافُ عَلَيۡكُمۡ عَذَابَ يَوۡمٍ عَظِيمٖ٥٩ قَالَ ٱلۡمَلَأُ مِن قَوۡمِهِۦٓ إِنَّا لَنَرَىٰكَ فِي ضَلَٰلٖ مُّبِينٖ٦٠ قَالَ يَٰقَوۡمِ لَيۡسَ بِي ضَلَٰلَةٞ وَلَٰكِنِّي رَسُولٞ مِّن رَّبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ٦١ أُبَلِّغُكُمۡ رِسَٰلَٰتِ رَبِّي وَأَنصَحُ لَكُمۡ وَأَعۡلَمُ مِنَ ٱللَّهِ مَا لَا تَعۡلَمُونَ٦٢﴾

“Sesungguhnya, Kami telah mengutuskan Nuh kepada kaumnya, lalu dia berkata, ‘Wahai kaumku, sembahlah Allah! Sekali-kali tiada Tuhan bagimu selain-Nya.’ Sesungguhnya, (kalau kamu tidak menyembah Allah), aku takut kamu akan ditimpa azab pada hari yang besar (Hari Kiamat). (59) Pemuka-pemuka daripada kaumnya berkata, ‘Sesungguhnya, kami memandang kamu berada dalam kesesatan yang nyata.’ (60) Nuh menjawab, ‘Wahai kaumku! Tidak ada padaku kesesatan sedikit pun, tetapi aku adalah utusan daripada Tuhan semesta alam. (61) Aku menyampaikan kepada kamu amanah-amanah Tuhanku dan aku memberikan nasihat kepadamu. Dan aku mengetahui daripada Allah apa yang tidak kamu ketahui.’ (62)” (Surah al-A‘raf: 59-62)

Manakala Nabi Ibrahim AS pula menghadapi Raja Namrud. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

﴿أَلَمۡ تَرَ إِلَى ٱلَّذِي حَآجَّ إِبْرَٰهِـۧمَ فِي رَبِّهِۦٓ أَنۡ ءَاتَىٰهُ ٱللَّهُ ٱلۡمُلۡكَ إِذۡ قَالَ إِبْرَٰهِـۧمَ رَبِّيَ ٱلَّذِي يُحۡيِۦ وَيُمِيتُ قَالَ أَنَا۠ أُحۡيِۦ وَأُمِيتُۖ قَالَ إِبْرَٰهِـۧمَ فَإِنَّ ٱللَّهَ يَأۡتِي بِٱلشَّمۡسِ مِنَ ٱلۡمَشۡرِقِ فَأۡتِ بِهَا مِنَ ٱلۡمَغۡرِبِ فَبُهِتَ ٱلَّذِي كَفَرَۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ٢٥٨﴾

“Apakah kamu tidak memerhatikan orang yang mendebat Ibrahim tentang Tuhannya (Allah) sedangkan Allah telah memberikan kepada orang itu (Raja Namrud) pemerintahan (kekuasaan). Ketika Ibrahim mengatakan, ‘Tuhanku ialah Tuhan yang menghidupkan dan mematikan’; orang itu berkata, ‘Aku juga dapat menghidupkan dan mematikan.’ Ibrahim berkata, ‘Sesungguhnya, Allah menerbitkan matahari dari timur, maka kamu terbitkanlah matahari dari barat.’ Lalu terdiamlah orang kafir itu; dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim.” (Surah al-Baqarah: 258)

Namun, Raja Namrud berlagak menjadi tuhan dan berlaku zalim.

Dalam pada itu, Nabi Musa AS pula menyelamatkan bangsanya dalam menghadapi Firaun (Raja Mesir) yang zalim. Firman Allah SWT:

﴿وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمۡۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِي مَن يَشَآءُۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ٤ وَلَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا مُوسَىٰ بِـَٔايَٰتِنَآ أَنۡ أَخۡرِجۡ قَوۡمَكَ مِنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ وَذَكِّرۡهُم بِأَيَّىٰمِ ٱللَّهِۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّكُلِّ صَبَّارٖ شَكُورٖ٥﴾

“Kami tidak mengutus seorang rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya dia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka, Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki, dan memberikan petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Dialah Tuhan yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. (4) Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Musa dengan membawa ayat-ayat Kami, (dan Kami memerintahkan kepadanya), ‘Keluarkanlah kaummu daripada gelap-gelita kepada cahaya terang benderang dan ingatkanlah mereka kepada hari-hari Allah.’ Sesungguhnya, pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi setiap orang penyabar dan banyak bersyukur. (5)” (Surah Ibrahim: 4-5)

Nabi Muhammad SAW menegakkan negara dan memimpinnya untuk membetulkan keadaan yang salah dan sesat, bermula dengan keluarga dan kaum bangsanya, serta mengutuskan surat kepada raja-raja yang berkuasa pada zamannya supaya memerintah rakyat dengan petunjuk agama yang adil.

Raja Habsyah, Raja Oman dan Raja Bahrain memeluk Islam dan dikekalkan menjadi raja di tempat masing-masing. Adapun Raja Mesir dan kabilah Najran pula, mereka berdamai dan bersama-sama menghadapi kuasa besar yang melampau terhadap agama serta rakyat yang telah mengumpulkan bala tentera yang besar bagi menentang Islam.

Al-Quran menyebutkan contoh khalifah yang adil melalui kisah Nabi Daud AS, contoh raja yang adil melalui kisah Nabi Sulaiman dan Raja Zulqarnain. Pada masa yang sama, al-Quran juga menyebutkan berkenaan raja yang sesat dan zalim seperti Firaun, Namrud dan lain-lain.

Rasulullah SAW menegaskan wajibnya ada penasihat yang baik bagi seorang ketua negara dan raja-raja. Hal ini sebagaimana sabdanya:

‌إِذَا ‌أرَادَ ‌اللهُ ‌بِالأَمِيرِ ‌خَيْرًا، ‌جَعَلَ ‌لَهُ ‌وَزِيرَ ‌‌صِدْقٍ، ‌إِنْ ‌نَسِيَ ‌ذَكَّرَهُ، ‌وَإنْ ‌ذَكَرَ ‌أَعَانَهُ، ‌وَإِذَا ‌أَرَادَ ‌بِهِ ‌غَيْرَ ‌ذَلِكَ ‌جَعَلَ ‌لَهُ ‌وَزِيرَ ‌سُوءٍ، ‌إِنْ ‌نَسِيَ ‌لَمْ ‌يُذَكِّرْهُ، ‌وَإِنْ ‌ذَكَرَ ‌لَمْ ‌يُعِنْهُ.

“Apabila Allah menghendaki seorang pemimpin atau raja itu baik, maka dijadikan kepadanya menteri yang bercakap benar. Jika pemimpin atau raja itu lupa, maka diperingatkan, jika ingat akan ditolongnya. Jika Allah menghendaki suatu kejahatan, maka dijadikan menteri yang buruk. Jika leka, nescaya dibiarkan dan jika beringat tidak ditolongnya.” (Riwayat Abu Dawud, Kitab al-Kharaj wa al-Fay’ wa al-Imarah, No. 2932)

Allah SWT mewajibkan adanya satu kumpulan dalam kalangan umat Islam yang melaksanakan kewajipan tersebut, sebagaimana firman-Nya:

﴿وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُولَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ١٠٤﴾

“Dan hendaklah ada antara kamu satu golongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma‘ruf dan mencegah daripada yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (Surah Ali ‘Imran: 104)

Ayat di atas ditafsirkan oleh hadis Rasulullah SAW melalui sabdanya:

الدِّينُ النَّصِيحَةُ.

“Agama itu nasihat.”

Kami bertanya:

لِمَنْ؟

“Bagi siapa?”

Sabdanya:

‌لِلَّهِ ‌وَلِكِتَابِهِ ‌وَلِرَسُولِهِ ‌وَلِأَئِمَّةِ ‌الْمُسْلِمِينَ ‌وَعَامَّتِهِمْ.

“Bagi Allah, bagi Kitab-Nya, bagi Rasul-Nya, bagi para pemimpin dan orang ramai.” (Riwayat Muslim, Kitab al-Iman, No. 55)

Allah SWT telah melaknat kaum Bani Isra’il kerana mereka telah meninggalkan kewajipan tersebut melalui firman-Nya:

﴿لُعِنَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِنۢ بَنِيٓ إِسْرَاءِيْلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُۥدَ وَعِيسَى ٱبۡنِ مَرۡيَمَۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّكَانُواْ يَعۡتَدُونَ٧٨ كَانُواْ لَا يَتَنَاهَوۡنَ عَن مُّنكَرٖ فَعَلُوهُۚ لَبِئۡسَ مَا كَانُواْ يَفۡعَلُونَ٧٩﴾

“Telah dilaknati orang-orang kafir daripada kalangan Bani Isra’il dengan lisan Daud dan ‘Isa putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas. (78) Mereka satu sama lain tidak pernah melarang tindakan mungkar yang dilakukan oleh mereka. Sesungguhnya, amat buruklah apa yang selalu mereka lakukan itu. (79)” (Surah al-Ma’idah: 78-79)

Menutup kewajipan mengkritik juga bercanggah dengan prinsip dan konsep demokrasi moden dan perlembagaan negaranya.

Al-Quran menetapkan konsep pemimpin dan ketua negara berperlembagaan dengan firman Allah SWT:

﴿إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا٥٨ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا٥٩﴾

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada ahlinya yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (58) Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya, dan ulu al-amri antara kamu. Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (59)” (Surah al-Nisa’: 58-59)

Ketaatan kepada Allah dan Rasul adalah secara mutlak tanpa pilihan kerana Allah SWT itu Maha Suci daripada sebarang kelemahan dan kekurangan, manakala Rasul itu pula dikawal oleh wahyu. Adapun ulu al-amri pula ialah para umara’ (pemimpin) yang melaksanakan hukum dan para ulama’ yang memelihara ilmunya selagi mentaati Allah dan Rasul.

Perkara ini dinyatakan dalam Sahifah Madinah (Piagam Madinah):

وَإِنَّهُ مَا كَانَ بَيْنَ أَهْلِ هَذِهِ الصَّحِيفَةِ مِنْ حَدَثٍ أَوِ اشْتِجَارٍ يُخَافُ فَسَادُهُ، ‌فَإِنَّ ‌مَرَدَّهُ ‌إِلَى ‌اللَّهِ وَإِلَى مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

“Dan bahawa sesungguhnya apa-apa perkara yang berlaku dalam kalangan ahli yang terlibat dalam pemeteraian piagam ini yang menimbulkan masalah dan pertelingkahan sehingga perkara itu boleh merosakkannya, hendaklah ia diselesaikan dengan kembali kepada Allah (al-Quran) dan Nabi Muhammad SAW (Sunnah).” (Ibn Hisyam, al-Sirah al-Nabawiyyah, Jld. 1, Hlm. 504)

Abu Bakar RA menyampaikan satu ucapan, setelah dirinya dibaiahkan menjadi Khalifah:

‌أَطِيعُونِي مَا أَطَعْتُ اللَّهَ وَرَسُولَهُ، فَإِذَا عَصَيْتُ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَلَا طَاعَةَ لِي عَلَيْكُمْ.

“Taatilah kepadaku selagi aku mentaati Allah dan Rasul. Sekiranya aku sudah tidak mentaati kedua-duanya, maka janganlah lagi kamu taat kepadaku.” (Ibn Hisyam, al-Sirah al-Nabawiyyah, Jld. 2, Hlm. 661)

Perbuatan ini diikuti oleh para khalifah dan raja-raja Islam selepasnya.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 29 Zulhijjah 1444 / 18 Julai 2023