PETRAJAYA – Pasukan kriket Terengganu mencipta sejarah baharu di Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) apabila layak ke separuh akhir buat kali pertama.
Ketua Jurulatih Kriket Terengganu, Kamarudin Husin berkata, pencapaian itu sangat membanggakan kerana pasukannya hadir ke bumi kenyalang sebagai ‘underdog’.
“Kami tidak dikenali apatah lagi digeruni mana-mana pasukan.
“Namun, pada perlawanan pertama kami buktikan kemampuan kami, kami tewaskan juara bertahan, Perak,” katanya ketika ditemui UPDI sejurus selepas melangkah ke separuh akhir.
Menurut Kamarudin, Terengganu menyasarkan untuk menyumbang satu pingat emas dan perak bagi sukan tersebut.
“Insya-Allah Terengganu akan berjuang bermatian-matian untuk mencapai sasaran tersebut.
“Di separuh akhir kami masih menanti siapa lawan, sama ada Kelantan, Selangor ataupun Sarawak,” katanya.
Tambah beliau lagi, pembinaan pasukan kriket Terengganu seawal 2019 akhirnya membuahkan hasil hari ini.
Terengganu melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan Pulau Pinang dengan 8 wiket pagi tadi.