KUALA TERENGGANU – Kerajaan PAS Terengganumenubuhkan pasukan khas meneliti semula perjanjian dan akaun kewangan melibatkan FELCRA Berhad bagi memastikan ketelusan dalam pengurusan tanah milik kerajaan serta agihan keuntungan kepada negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Alam Sekitar Negeri, YB Dato Dr. Azman Ibrahim berkata langkah itu bertujuan memastikan pengiraan perkongsian keuntungan bagi projek-projek di bawah Program Usaha Sama (JV) dan Program Pembasmian Rakyat Termiskin (PPRT) dijalankan secara jelas dan adil.
Katanya, FELCRA Berhad telah bersetuju membuat bayaran perkongsian kepada Kerajaan Negeri berjumlah RM15.24 juta, meliputi RM6.53 juta bagi Program Usaha Sama (JV) dan RM8.72 juta bagi Program PPRT yang dilaksanakan antara tahun 2014 hingga 2024.
“Kerajaan Negeri akan meneliti kembali perjanjian sedia ada bagi memastikan pengiraan hasil dan agihan keuntungan benar-benar menepati syarat yang dipersetujui.
“Dalam masa yang sama, akaun FELCRA Berhad akan diperiksa sebagai pengesahan terhadap bayaran yang telah dibuat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada ADUN Langkap YB Azmi Maarof pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.
Azman turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan menubuhkan satu pasukan khas (task force) bagi menyelesaikan isu pelupusan tanah, termasuk tanah yang perlu dinyahwarta di bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960, bagi diselaraskan semula di bawah Kanun Tanah Negara.
“Setakat ini, sebanyak 9,651.19 hektar tanah milik kerajaan telah dibangunkan oleh FELCRA di seluruh Terengganu.
“Daripada jumlah itu, 4,440.95 hektar melibatkan program JV bersama Kerajaan Negeri, manakala 4,227.35 hektar dibangunkan di bawah Program PPRT.
“Selebihnya, 982.89 hektar masih belum mempunyai status pemilikan rasmi,” katanya.
Beliau menambah, program-program tersebut dilaksanakan di tujuh daerah termasuk Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun, Kemaman dan Kuala Nerus dengan tanaman utama ialah kelapa sawit.
Justeru itu, beliau menegaskan bahawa segala usaha ini adalah bagi memastikan tanah milik kerajaan negeri dimanfaatkan secara optimum untuk kesejahteraan rakyat, khususnya dalam memperkukuh agenda pembasmian kemiskinan luar bandar.
“Kerajaan Negeri komited memastikan setiap hasil daripada projek-projek FELCRA benar-benar memberi pulangan kepada rakyat Terengganu,” jelas beliau.





