Home Berita PAS Terengganu

Pasukan hoki terengganu buru kejuaraan berganda

110
SHARE

KUALA LUMPUR – Pasukan Hoki Terengganu (THT) dalam misi memburu kedudukan terbaik dalam saingan Liga Hoki Malaysia 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pasukan tersebut tetap berazam menawarkan aksi terbaik pada tahun ini.

“THT yang ditubuhkan pada tahun 2013 telah beraksi cemerlang dan meraih kejuaraan berganda dalam Liga Hoki Malaysia sebanyak empat kali berturut-turut pada 2014, 2015, 2016 dan 2017.

“Kemudian, pada tahun 2021, THT telah berjaya merebut kembali Piala TNB dan menjadi Naib Juara Liga setelah berada pada tangga ketiga liga pada tahun 2020.

“Saya percaya, semua pemain pada tahun ini pasti lebih bersemangat untuk meraih kembali kejuaraan berganda yang pernah dikecapi dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Penaja dan Pemain Pasukan Hoki Terengganu di Hotel The Pearl, Kuala Lumpur semalam.

Turut hadir, Penaung Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili, Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Prof. Madya Dato’ Dr. Shamala A/P Subramaniam, Presiden Persatuan Hoki Negeri Terengganu, Mohd Fikri Harun.

Dalam perkembangan yang sama, Ir. Saiful Azmi berkata, THT meletakkan sasaran untuk merampas kembali sekurang-kurangnya satu piala pada tahun ini.

“Meskipun dalam kekangan Covid-19, pasukan telah menpersiapkan pemain untuk bermain dalam keadaan yang terbaik,” ujarnya.