Oleh :Nooreni Abu Bakar
DUNGUN – Pusat Asuhan Tunas-Tunas Islam (PASTI) yang diasaskan oleh Parti Islam Se-Malaysia(PAS) telah berjaya menjadi penyumbang modal insan cemerlang untuk membangun dan seterusnya memajukan negara.
Sehingga hari ini, kata Pengarah Majlis Tindakan DUN Rantau Abang, Alias Harun, ramai yang berjaya di dalam masyarakat adalah hasil didikan institusi pendidikan pra-sekolah tersebut.
“Malah ada diantara mereka yang mendapat pendidikan sehingga peringkat doktor falsafah,” ujarnya.
Beliau memberitahu demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Tabung Dana Tanah Wakaf Fasa II Madrasah Raudhatul Ulum Al Musthofa di Kampung Tok Kah, di sini baru-baru.
Pelancaran dana wakaf itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen PAS Kawasan Dungun yang juga merupakan Penasihat I madrasah yang diasaskan oleh Almarhum Tuan Guru Haji Mustafa Husin.
Fasa 1 madrasah tersebut yang merupakan bangunan setingkat lima bilik dan tandas yang menempatkan PASTI dan KAFA yang telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau Abang itu pada awal tahun ini.
Premis itu juga yang sentiasa dimeriahkan dengan kelas-kelas pengajian saban hari untuk semua golongan terutamanya kepada masyarakat kampung.
Manakala fasa II adalah untuk membina pondok pengajian di samping asrama dan rumah warden.
Dengan pelancaran tersebut orang ramai dijemput menyumbang dengan membeli lot-lot tanah bernilai RM10, RM50 dan RM100 dengan menghubungi talian 013 531 2287 atau menyalurkannya ke akaun Maybank, Madrasah Raudhatul Ulum Al Musthofa yang bernombor 563091021597.
Alias turut melahirkan harapan agar Kampung Tok Kah menjadi ‘Kampung Ilmu’ suatu hari nanti dengan terbinanya madrasah tersebut yang bermula daripada pendidikan awal kanak – kanak sehingga pengajian pondok yang akan merancakkan lagi budaya menuntut ilmu.
“Kita nak mendirikan institusi pendidikan ini untuk mensucikan (terpengaruh) isme-isme(fahaman) baru yang merosakkan umat,” katanya yang juga Penasihat II madrasah tersebut.