Home Berita PAS Wilayah

PASTI Kawasan Labuan anjur Kursus Pemantapan Guru

2264
SHARE

Oleh: Nurhidayah Zamdee

KOTA KINABALU, Jumaat: PASTI Kawasan Labuan telah menganjurkan Kursus Pemantapan Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dan Sahsiah Guru untuk guru-guru PASTI pada 14 hingga 17 Mac yang lalu. Kursus yang berlangsung selama 4 hari 3 malam itu diadakan di Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Labuan dan dihadiri seramai 15 orang guru.

Pelbagai slot pengisian dan bengkel telah diberikan termasuklah yang berbentuk ‘hands-on’ kepada guru. Selain itu, setiap slot pengisian disampaikan oleh 2 orang wakil dari Unit Kurikulum dan Latihan PASTI Wilayah iaitu Puan Rabiah Zakaria dan Puan Siti Nurhazwah Abdul Hamid serta Pengerusi Majlis Guru PASTI (MGP) Wilayah, Puan Fatimawati Haji Ahmad. Kesemuanya merupakan guru-guru PASTI yang sangat berpengalaman.

Antara fokus utama kursus kali ini adalah penerangan berkenaan sistem baru PASTI iaitu Sistem Perkembangan Prestasi Murid (SPPM), yang mana dalam SPPM ini terdapat 5 elemen bersepadu yang akan dinilai pada setiap murid iaitu Celik Al-Quran, Celik Sahsiah, Celik Minda, Celik Cerdas, dan Celik Membaca.

Selain itu, slot ‘Projek Aulad’ juga memperlihatkan kekreatifan dan inovasi guru-guru PASTI dalam menghasilkan projek-projek menggunakan bahan kitar semula seperti kotak dan botol yang mana idea-idea tersebut boleh diaplikasikan bersama murid-murid kelak.

“Harapan saya semoga dengan kursus ini, sedikit sebanyak dapat meningkatkan dan memperbaiki lagi cara mengajar saya di dalam kelas. Semoga segala input yang saya dan rakan-rakan guru yang lain perolehi ini dapat diaplikasikan sebaiknya supaya sesi pengajaran berjalan dengan jayanya,” ujar Sri Handayani, salah seorang peserta kursus.

Jumlah PASTI di Labuan telah bertambah sebanyak sebuah pada tahun ini berbanding 5 buah tahun sebelumnya. Semoga PASTI Labuan terus bercambah di masa akan datang.