Oleh: Muhammad Hadi
ARAU : PASTI Kangar muncul juara keseluruhan Pertandingan Alam Ria PASTI Peringkat Negeri Perlis yang diadakan di Kompleks Pendidikan MADI, Jejawi Dalam, dekat sini pada 24 Ogos lalu.
Lapan acara dipertandingkan melibatkan penyertaan seramai 239 orang peserta daripada tiga kawasan iaitu Arau, Kangar dan Padang Besar.
PASTI Kangar telah berjaya menjadi johan dalam lima acara iaitu Hafazan (Lelaki), Hafazan (Perempuan), Khutbah, Sajak (Perempuan) dan Kalam Jama’ie.
Perasmian program telah disempurnakan oleh Ketua Penerangan PAS Perlis, Dr Saifizi Saidon.
Dalam ucapannya, beliau mengakui para pelajar PASTI adalah sangat proaktif dan berpotensi tinggi jika mereka berjaya dilatih dan dididik dengan acuan yang betul sejak kecil lagi.
Menurutnya lagi, usaha-usaha PASTI menerusi pembentukan peribadi unggul ini bertujuan mempersiapkan diri mereka menjadi warga yang cintakan negara serta berpegang teguh dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian supaya diredai Allah SWT di dunia dan di akhirat.
Pemenang tempat pertama setiap acara akan mewakili PASTI Negeri Perlis dalam Alam Ria PASTI Malaysia yang akan berlangsung pada 28 September 2019 di negeri Johor Darul Takzim.