Home Berita PAS Perlis

PASTI Darul Hikmah Juara Baru Alam Ria PASTI Arau

1271
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

ARAU : PASTI Darul Hikmah, Jejawi Dalam muncul juara keseluruhan Alam Ria PASTI Kawasan Arau yang telah berlangsung pada pagi tadi di Kompleks Pendidikan MADI, Jejawi Dalam, dekat sini.

PASTI berkenaan telah berjaya menjadi johan dalam empat acara iaitu Hafazan (Perempuan), Pidato, Bercerita (Lelaki) dan Sajak (Lelaki) selain meraih tempat kedua dalam acara Bercerita Perempuan dan tempat ketiga dalam tiga acara iaitu Nasyid, Sajak Perempuan dan Khutbah.

Kejayaan tersebut sekaligus menamatkan penguasaan PASTI Al Furqan yang menyandang gelaran berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

Dengan perbezaan sebanyak lima mata, PASTI Al Furqan sekadar berpuas hati di tempat kedua manakala tempat ketiga menjadi milik PASTI Al Huda, Pauh Putra.

Sebanyak sebelas acara dipertandingkan di dua lokasi pertandingan iaitu di Balai Islam MADI dan SRI Al-Furqan dengan sejumlah 12 buah PASTI dalam Kawasan Arau mengambil bahagian.

Menurut Pengerusi PASTI Kawasan Arau, Abdul Hadi Halipah, pihaknya berpuas hati dengan kualiti persembahan yang ditunjukkan oleh para peserta, khususnya dalam acara berkumpulan seperti nasyid dan kalam jama’ie.

“Kita juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua guru yang telah bertungkus-lumus melatih dan mempersiapkan para peserta sehingga ke hari pertandingan pada hari ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Pemenang tempat pertama hingga ketiga bagi setiap acara akan mewakili PASTI Kawasan Arau ke Alam Ria PASTI Negeri Perlis yang dijadualkan akan berlangsung pada 24 Ogos nanti.

Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd. Shukri Ramli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang hadir selaku perasmi program kali ini.